Guru mogok sekolah dibuka di Zimbabwe

HARARE, 28 SEPT – Ratusan guru Zimbabwe menuntut gaji lebih baik tinggal di rumah hari ini, tatkala sekolah dibuka semula selepas enam bulan dikenakan sekatan koronavirus.

Di Sekolah Tinggi Warren Park di barat kawasan kelas pekerja Harare, puluhan pelajar menunggu guru mereka dengan sia-sia di sebuah bangunan sekolah yang belum siap. Ada di antara mereka memakai penutup mulut dan hidung. Sebuah baldi 20-liter yang diisi pensanitasi tangan ditempatkan di pintu masuk sekolah.

Di sebuah sekolah kerajaan di daerah Avondale, tidak ada guru yang kelihatan dan pelajar sekolah rendah bermain di luar bilik darjah mereka.

“Guru-guru tidak hadir untuk bertugas,” beritahu Raymond Majongwe, setiausaha agung salah satu kesatuan terbesar negara, Kesatuan Guru-Guru Progresif, kepada AFP.

Majongwe berkata guru-guru bergelut untuk ‘bertahan’ dan mereka tidak mampu menghantar anak mereka sendiri ke sekolah.

Gaji guru, menurutnya, telah terjejas teruk akibat inflasi – yang mencecah melebihi 700 peratus – kepada bersamaan AS$40 sebulan, merosot daripada AS$550 pada Oktober 2018. – AFP

Pelajar mengamalkan penjarakan sosial sebelum perhimpunan sekolah di Sekolah Queen Elizabeth di Harare kelmarin. – AFP