Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru pelarian Syria diterima baik di Jerman

    FURSTENWALDE, Jerman – Bekerja di salah sebuah sekolah di Jerman bukan sekadar membaca atau menulis, menyelesaikan masalah matematik dan menyanyi lagu-lagu, kata guru pembimbing warga Syria, Hend al-Khabbaz, 35 tahun.

    Dia merasa terkejut dengan timbunan kertas kerja dan tugas-tugas pentadbiran yang perlu dilaksanakan.

    Sekolah ini “bagus untuk kanak-kanak, namun banyak kerja yang perlu dilakukan oleh guru-guru,” katanya sambil tersenyum, yang fasih bertutur dalam bahasa Jerman yang dia pelajari sejak melarikan diri dari tanah airnya yang dilanda peperangan kurang daripada tiga tahun yang lalu.

    Tempat kerja baru Khabbaz itu adalah sekolah rendah Sigmund Jaehn di Fuerstenwalde, sebuah bandar yang telah dibina di kawasan perumahan bekas komunis Jerman, 60 kilometer dari Berlin.

    Ia juga terletak sekitar 3,500 kilometer dari rumah yang ditinggalkannya di Homs, Syria, di mana dia mengajar bahasa Inggeris sebelum menaiki bot yang penuh sesak untuk melarikan diri ke Eropah.

    Hend Al Khabbaz (kanan) mengajar murid-murid pelarian warga Syria semasa sesi kelas di Sigmund-Jaehn-Grundschule (sekolah rendah) di Fuerstenwalde, timur Jerman. – AFP
    Al Khabbaz (tengah) mendengar masalah yang dihadapi penuntut warga Syria di Sigmund-Jaehn-Grundschule (sekolah rendah) di Fuerstenwalde, timur Jerman. – AFP

    Selepas perjalanan yang melelahkan di sepanjang laluan Balkan, dia meminta suaka di Jerman pada bulan September 2015, semasa puncak kemasukan besar-besaran yang membawa lebih daripada satu juta pelarian dan pendatang.

    Walaupun Jerman bergelut untuk mengintegrasikan kebanyakan pendatang-pendatang baru, Khabbaz begitu bertuah. Dengan kerja kerasnya, dia kini mempunyai pekerjaan sepenuh masa dalam profesionnya.

    Dia adalah salah seorang graduan pertama dalam Program Perguruan Pendatang di Universiti Potsdam, yang membekalkan guru-guru asing untuk memasuki sistem persekolahan Jerman.

    Daripada 700 pemohon awal pada tahun 2016, 85 peratusnya adalah daripada warga Syria.

    “Mereka ini mempunyai pendidikan universiti yang sangat baik,” kata Miriam Vock, profesor yang memulakan program itu.

    “Kami mahu memberi mereka peluang untuk mampu bekerja semula di sini.”

    Di sekolah Fuerstenwalde, terdapat empat orang kanak-kanak Syria mengikuti pembelajaran mereka di sana iaitu Yasmine, Zaid dan dua kanak-kanak lelaki bernama Mohamed.

    Murid-murid yang berumur dalam linkungan sembilan sehingga 11 tahun dilihat fokus dalam sesi pembelajaran mereka.

    “Apa yang dilakukan oleh lelaki ini?” tanya seorang pembantu pengajar dalam sesi kelas wayang.

    Mohamed mengangkat tangannya dan menjawab dengan penuh semangat dalam bahasa yang baru dipelajarinya: “Dia sedang membuka pintu.”

    Berdiri di samping murid-murid Syria adalah Khabbaz, bersedia untuk membantu empat orang rakannya.

    Yasmine berpaling menuju wanita muda dan berbisikan soalan dalam bahasa Arab.

    “Terdapat perkataan-perkataan yang mereka belum memahaminya, atau kadang-kadang guru-guru bercakap laju,” kata Khabbaz

    Pengetua sekolah, Ines Tesch menjelaskan bahawa anak-anak pelarian “masih menghadapi kesukaran dalam memahirkan bahasa biologi atau fizik.”

    “Apabila tidak ada cara lain, kanak-kanak ini akan bertutur dalam bahasa ibunda mereka,” kata Tesch.

    Walaupun Jerman bergelut untuk mengintegrasikan kebanyakan pendatang-pendatang baru, Khabbaz begitu bertuah. Dengan kerja kerasnya, dia kini mempunyai pekerjaan sepenuh masa dalam profesionnya. – AFP

    Ini bermakna bantuan sokongan adalah begitu berharga buat kanak-kanak ini, selain daripada mencari jalan di dalam sebuah negara yang tidak dikenali, membawa kenangan-kenangan peperangan, pergolakan dan penghijrahan beramai-ramai.

    Sekolah Sigmund Jaehn, yang diberi nama atas angkawasan pertama Jerman Timur, kini menjadi tuan rumah kepada 92 kanak-kanak pelarian, termasuk 45 orang warga Syria, daripada jumlah keseluruhan 350 pelajar.

    Khabbaz mengatakan bahawa halangan terbesarnya untuk meneruskan kerjayanya itu adalah mempelajari bahasa baru, yang membentuk sebahagian besar kursus latihan Potsdam.

    “Ia mendapat permintaan yang tinggi kerana para peserta perlu memperoleh tahap bahasa yang sama peringkat dengan warga Jerman di mana ia begitu penting dalam pengajaran,” kata pengasas program Vock.

    Ini adalah sebab-sebab utama di mana 26 siswazah daripada kumpulan pertama pada tahun 2017, hanya 12 orang yang berjaya menyertai di sekolah ini setakat ini. Manakala yang lain terpaksa menduduki ujian peperiksaan Bahasa Jerman lagi.

    Namun, program ini telah berjaya dan universiti-universiti Jerman lain kini mengikutinya. Beberapa kawasan pedalaman mengalami kekurangan guru yang amat kritikal.

    “Sudah jelas bahawa pada akhirnya mereka semua akan mendapat pekerjaan di sekolah,” kata Vock.

    Walau bagaimanapun, rintangan yang dihadapi adalah sangat tinggi bagi mereka yang ingin mendapatkan status istimewa sebagai penjawat awam, kerana “kebanyakan mereka hanya mempunyai lesen untuk mengajar satu mata pelajaran,” tambah Vock.

    “Di Jerman anda memerlukan ijazah sarjana dan dua mata pelajaran pengajaran.”

    Buat masa ini, Khabbaz sangat gembira kerana dapat membina kehidupan baharu di bandar itu di mana terdapatnya kedai roti Sputnik dan Jalan Yuri Gagarin, yang dinamakan sempena angkasawan Rusia, mengingat kembali Perang Dingin masa lalu.

    Walaupun rantau ini menyaksikan peningkatan dalam sentimen antiwarga asing sejak kemasukan pendatang, Khabbaz mengatakan bahawa dia terselamat dari masalah diskriminasi dan perkauman.

    “Tidak ada seorangpun yang berani memperkatakan al-Khabbaz,” kata Tesch, pengetua sekolah.

    “Tetapi saya tahu saya mungkin menghadapi masalah dengan beberapa ibu bapa jika dia memakai tudung atau jilbab.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda