Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi

    Oleh Sim Y.H. –

    Guru memainkan peranan yang amat penting sebagai pemacu transformasi dan pendidik golongan muda generasi baru supaya mereka dapat menjadi individu yang berfikiran kritis, inovatif, kreatif serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.

    Dalam landskap pendidikan yang sentiasa berubah, guru merupakan pemangkin yang sentiasa memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai potensi penuh mereka.

    Seiring dengan dunia yang beralih ke arah masyarakat yang saling berhubung melalui teknologi, peranan guru sememangnya melangkaui batas tradisi kebiasaan mereka.

    Guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi juga mentor yang memupuk rasa ingin tahu, kreativiti dan juga semangat para pelajar untuk pembelajaran sepanjang hayat.

    GURU PEMANGKIN PENDIDIKAN LESTARI DAN INOVASI

    Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-35 2025, mengetengahkan tema, Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi, di mana ia memberikan penekanan kepada peranan guru sebagai tokoh utama yang mendorong perubahan positif dalam sistem pendidikan ke arah lebih berdaya tahan, inklusif dan berteraskan nilai-nilai murni.

    Guru juga menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar dengan mendorong mereka menyelesaikan masalah secara kritis dan menghasilkan buah fikiran baharu dan berimpak tinggi.

    Agama Islam mengangkat martabat guru sebagai Murabbi iaitu pendidik jiwa dan sahsiah pelajar di samping menyampaikan ilmu pengetahuan yang harus mencontohi sifat-sifat para nabi yang terpuji dan menanamkannya ke dalam diri pelajar.

    ATAS & BAWAH: Tema Sambutan Hari Guru ke-35 tahun ini Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi membawa maksud peranan guru sebagai tokoh utama yang mendorong perubahan positif dalam sistem pendidikan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan berteraskan nilai-nilai murni. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT
    GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT
    Peranan Murabbi sebagai pendidik ialah untuk memastikan pendidikan kekal relevan dan lestari. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT
    Aktiviti tanaman hijau yang dijalankan oleh guru sempena Hari Penanaman Benih merupakan salah satu usaha bagi memupuk kesedaran alam sekitar yang lebih hijau dan lestari. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT
    GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT

    GURU SEBAGAI MURABBI

    Guru sebagai Murabbi mengutamakan pembentukan akhlak mulia, pembangunan potensi pelajar secara holistik yang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

    Guru juga menjadi pemain utama dalam melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja berilmu tinggi, malah prihatin, beretika dan bersedia menghadapi cabaran masa depan secara lestari.

    Pendidikan lestari merujuk kepada pendidikan berkualiti yang berpanjangan dan mampu memenuhi keperluan masa kini tanpa mengabaikan generasi akan datang.

    Dari sudut pedagogi inovasi berteraskan Maslahah Ummah, seiring dengan peranan Murabbi sebagai pendidik yang mesti bersikap inovatif dalam pedagogi untuk memastikan pendidikan kekal relevan dan lestari.

    Setiap perspektif inovasi hendaklah berteraskan Maslahah Ummah, iaitu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat umum dan bukan sekadar memperkenalkan perubahan yang tidak memberi sebarang manfaat.

    GURU PEMANGKIN PENDIDIKAN LESTARI DAN INOVATIF

    Secara keseluruhan, guru yang melaksanakan peranan sebagai pemangkin pendidikan lestari dan inovatif berupaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran tinggi, tetapi juga berakhlak mulia, beretika dan memiliki kesedaran untuk menyumbang secara mampan kepada agama, bangsa dan negara.

    Guru berperanan membina kesedaran sivik dan memupuk sikap prihatin terhadap masyarakat serta alam sekitar, sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah.

    Guru juga menjadi teras kepada pencapaian falsafah pendidikan negara serta pembentukan generasi yang berkualiti, seimbang dari sudut duniawi dan ukhrawi serta bersedia menerajui masa depam dengan jati diri yang kukuh.

    MEMPERKASA PENDIDIK, MENGINSPIRASI MASA DEPAN HIJAU

    Sambutan Hari Guru ke-35 turut membawa subtema, Memperkasa Pendidik, Menginspirasi Masa Depan Hijau, di mana ia menekankan peranan penting para guru dalam membentuk generasi yang celik alam sekitar melalui pendidikan kelestarian.

    Ia menggalakkan tindakan kolektif dalam kalangan pendidik dan pelajar untuk memupuk kesedaran alam sekitar serta melaksanakan inisiatif hijau secara praktikal di sekolah dan komuniti.

    Dengan memperkasakan guru sebagai ejen perubahan, subtema itu bertujuan membina asas kukuh ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda