Monday, September 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru pendukung kejayaan pelajar

    Oleh Sim Y. H –

    Tidak dapat dinafikan bahawa guru memainkan peranan yang amat penting sebagai pemacu transformasi dan pendidik golongan muda generasi baharu supaya mereka dapat menjadi individu yang berfikiran rasional, inovatif, kreatif serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.

    Dalam landskap pendidikan yang sentiasa berubah, guru adalah pemacu perubahan yang sentiasa memberikan inspirasi kepada pelajar untuk mencapai potensi penuh mereka.

    Seiring dengan dunia yang beralih ke arah masyarakat yang saling berhubung melalui teknologi, peranan guru sememangnya melangkaui batas tradisi kebiasaan mereka.

    Guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi juga mentor yang memupuk rasa ingin tahu, kreativiti dan juga semangat para pelajar untuk pembelajaran sepanjang hayat.

    Dengan mengadaptasi kaedah pengajaran yang inovatif dan memanfaatkan teknologi, guru akan sentiasa membentuk semula pengalaman pengajaran mereka, dengan menjadikannya lebih menarik dan relevan dengan cabaran abad ke-21.

    Guru sebagai pemacu perubahan. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT
    Gambar ramai tenaga pengajar di Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT
    GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT
    Para pelajar dilengkapi dengan kemahiran abad ke-21. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT
    GAMBAR SERAHAN SEKOLAH RENDAH BENDAHARA SAKAM BUNUT

    Semua itu mengetengahkan peranan penting guru yang kini menjadi pemacu kepada transformasi pendidikan di mana ia amat sesuai dengan tema Sambutan Hari Guru ke-34, 2024 iaitu Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan.

    Pendidikan Untuk Dunia Yang Terus Berubah

    Dalam dunia digital yang pesat berubah, kemahiran-kemahiran abad ke-21, amat diperlukan untuk pelajar dengan guru memainkan peranan penting dalam proses pengembangan kemahiran berkenaan.

    Mereka bukan sahaja menyampaikan kandungan pembelajaran serta penilaiannya dengan bijaksana tetapi juga membimbing pelajar bagaimana menilai sumber maklumat yang diterima secara kritikal serta menggalakkan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

    Di samping itu, guru bukan hanya menggunakan kandungan berkenaan secara pasif tetapi juga mempersiapkan pelajar untuk ikut serta dalam penciptaan serta penyebaran pengetahuan secara aktif dengan memberikan tumpuan kepada pendekatan merentas disiplin dalam sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik.

    Guru Pendukung Inklusiviti dan Diversiti

    Guru merupakan pendukung inklusiviti dan diversiti yang memupuk suasana pengajaran dan pembelajaran di mana setiap pelajar rasa dihargai dan didengari.

    Selain itu, guru juga memainkan peranan dalam menjadikan ruang pengajaran dan pembelajaran sebagai cerminan kepelbagaian dunia sebenar dengan menekankan pentingnya memahami dan menghargai pandangan yang berlainan.

    Dengan sokongan seperti ini, pelajar dapat menghargai kepelbagaian budaya, meningkatkan empati dan mempersiapkan diri mereka untuk menjadi warga global yang bertanggungjawab.

    Ke arah itu, para guru hendaklah menggalakkan pelajar untuk merangkul kepelbagaian bukan saja sebagai cabaran tetapi sebagai peluang bagi belajar sambil memperluaskan dan memperkaya pengalaman mereka.

    Guru Sebagai Arkitek Masa Depan

    Guru sebagai arkitek masa depan memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar mengajar pengetahuan akademik. Mereka juga bertanggungjawab memupuk kecerdasan emosi, ketahanan dan kemampuan menyesuaikan diri dalam diri pelajar.

    Selain itu, guru memainkan peranan penting dalam membina aspek kerohanian pelajar di mana nilai-nilai kerohanian yang kuat akan mempengaruhi pemikiran dan personaliti mereka melalui penghayatan ajaran Islam yang murni dengan berpegang teguh kepada prinsip negara, Melayu Islam Beraja.

    Pendekatan holistik ini, mendorong pembangunan rohani pelajar, membantu mereka memahami peranan mereka di dunia ini secara lebih mendalam serta menyumbang ke arah dunia yang lebih baik pada masa hadapan.

    Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan

    Guru berkualiti tidak dapat dinafikan memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan sistem pendidikan yang adaptif, inklusif dan berfikiran maju.

    Mereka berusaha sedaya upaya bagi menyediakan generasi seterusnya dalam menghadapi cabaran global dan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Oleh yang demikian, usaha dan dedikasi para guru harus dihargai dan disokong oleh semua pihak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda