Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Tanggal 23 September setiap tahun adalah tarikh bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap agama, bangsa dan negara, dengan tahun ini Sambutan Hari Guru membawa tema ‘Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan’.
Memegang status sebagai seorang guru bukan satu perkara yang mudah, ia memerlukan kepada kesabaran dan kesungguhan dalam mentarbiahkan atau mendidik generasi yang terbaik.
Sehubungan dengan itu, seorang guru berkualiti bukan sekadar seorang pengajar, tetapi pemimpin yang berdedikasi, inspiratif dan inovatif dalam membentuk generasi penerus yang unggul, tekan khatib dalam khutbah Jumaat hari ini.
Menurutnya lagi, guru berkualiti juga seorang yang mempunyai pemahaman mendalam tentang subjek yang diajar dan berpegang teguh pada etika profesional dan memastikan pembelajaran yang disampaikan tersusun, menyeluruh dan mudah difahami oleh pelajar berkenaan.
Selain itu, mereka perlu menunjukkan komitmen untuk terus meningkatkan kemahiran diri mengikuti arus perkembangan pengetahuan dan teknologi.
Khatib seterusnya menjelaskan, mereka yang berusaha mencari ilmu, ganjarannya pula besar iaitu akan dipermudahkan oleh Allah untuk masuk ke dalam syurga.
Dalam mencari ilmu, tambahnya, perlu mencari pembimbing atau guru, tanpa adanya guru, tidak akan tahu mana yang benar dan tidak akan mendapat petunjuk yang lurus.
“Agama Islam juga menuntut umatnya untuk menyebarkan ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain kerana amalan sedemikian itu adalah dikira sedekah,” katanya.
Tugas sebagai seorang guru antara bidang pekerjaan yang mulia, guru mempunyai darjat dan martabat yang tinggi di mana gelaran guru, cikgu, ustaz, ustazah dan sebagainya sentiasa kekal dalam kehidupan guru tersebut sampai bila-bila.
Khatib turut menyentuh mengenai transformasi pendidikan iaitu proses perubahan dalam memajukan perkembangan sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam yang berpaksikan nilai-nilai murni ajaran agama Islam serta tadbir urus serta menyerapkan prinsip maqasid Syariah.
Khatib menjelaskan, salah satu aspek penting dalam proses ini ialah penekanan terhadap pembangunan profesional guru yang bersandarkan kecekapan dan kemahiran yang diperlukan menerusi kepelbagaian program dan latihan pembangunan yang berkaitan dan berancang.
Dalam era yang terus berkembang ini, jelasnya, pendidikan memegang peranan penting dalam membentuk masyarakat yang maju dan berdaya saing.
Di sebalik kejayaan pendidikan yang berkualiti, terdapat guru-guru yang menjadi pemacu utama transformasi pendidikan.
Sehubungan itu, para guru adalah contoh teladan bagi pelajar dalam mengamalkan nilai-nilai murni, sikap positif dan kemahiran hidup.
Transformasi pendidikan memerlukan guru berkualiti yang tidak hanya terikat dengan rutin dalam kelas, tapi juga terlibat aktif dalam program di kalangan guru-guru dan dalam pelbagai kegiatan masyarakat untuk memperkuat sistem pendidikan secara menyeluruh.
Selaras dengan matlamat 1 Wawasan Brunei 2035, rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya, sektor pendidikan terus berperanan penting ke arah merealisasikan hasrat ini.
“Ini khasnya dalam menerokai pendekatan serta kaedah baharu dalam konteks transformasi pendidikan yang mampu memberikan impak positif besar terutama ke atas pengajaran dan pembelajaran di setiap institusi pendidikan di negara ini,” jelasnya.
Keberkesanan dalam sistem pendidikan akan diterjemahkan sebagai berupaya membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bukan sahaja dari sudut kejayaan dalam kehidupan masing-masing, malah menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara dalam pelbagai bidang.
“Memandangkan peranan guru dalam menyebar ilmu pengetahuan adalah sangat besar, mulia dan tinggi martabatnya, wajarlah mereka dihormati, kerana martabat guru itu sangat tinggi di sisi Allah,” jelas khatib.
Khatib turut menyeru untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah, agar mereka yang telah mendidik kita baik di kalangan ibu bapa, mahupun guru-guru mendapat rahmat dan pertolongan Allah sepanjang masa.
Manakala bagi guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah, didoakan semoga mereka dicucuri rahmat oleh Allah.