Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Dis – Lebih kurang seminggu lagi, sesi persekolahan akan bermula dan ibu bapa mula giat mempersiapkan kelengkapan anak-anak ke sekolah, tidak terkecuali pendidik negara ini turut mempersiapkan diri untuk mengalu-alukan pelajar baru.
Wartawan Media Permata sempat menemu bual beberapa orang pendidik hari ini bagi mengongsikan persiapan mereka untuk sesi persekolahan 2018.
Guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Asmahwati binti Haji Yahya mengatakan beliau mempersiapkan booklet berbentuk soalan dan nota mengikut subjek silabus dari Kementerian Pendidikan.
Beliau yang mengajar murid Tahun 4 iaitu peralihan dari rendah bawah ke rendah atas mengatur strategi kaedah pengajaran yang dipelbagaikan selain menggunakan kad imbasan dan bantuan projektor untuk memudahkan pemahaman pelajar dalam sesuatu topik yang diajarkan.
Menurutnya, beliau juga menambahkan hafalan sebagai kerja rumah bagi sub-topik Bahasa Melayu dengan pelajar akan dipantau oleh ibu bapa di rumah sebelum diuji oleh guru di sekolah pada hari berikutnya untuk melihat sejauh mana keberkesanan pelajaran Bahasa Melayu itu.

Sementara, Dayang Kaniz binti Abdul Shakoor yang juga guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah YSHHB pula berkongsi persiapan untuk mengalu-alukan pelajar Tahun 6, di mana beliau lebih memberi tumpuan persiapan PSR iaitu dengan menyediakan nota untuk pelajar.
Selain itu, beliau turut memberi motivasi dan fokus kepada pelajar terutama yang dalam tahap sederhana dan membanyakkan latihan tubi soalan PSR.
Menurutnya lagi, untuk pelajar Tahun 6 ini, tumpuan utama dalam teknik penulisan karangan amat ditekankan.
Manakala guru Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB) Dayangku Hajah Siti Nurulhuda binti Pengiran Haji Tajuddin yang mengajar murid Taman Asuhan 1 sekolah berkenaan juga tidak terlepas membuat persiapan memandangkan pada peringkat ini, ia merupakan pengalaman awal kanak-kanak di alam persekolahan.
Beliau mempersiapkan diri daripada segi kesihatan, tenaga dan emosi kerana murid-murid baru ini ada yang akan menangis kerana belum pernah terdedah dengan alam persekolahan.
Manakala daripada segi pengajaran pula, beliau telah menyediakan alat-alat permainan dan aktiviti menyeronokkan yang boleh menarik murid-muridnya untuk datang ke sekolah.
Manakala salah seorang guru Sena dari Sekolah Rendah Jerudong menjelaskan persediaan awal telah dilaksanakan bukan saja dari segi persediaan pembelajaran malah suasana persekitaran bilik darjah juga diambil perhatian.
“Ini adalah untuk memastikan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif untuk belajar tahun hadapan,” tambahnya.
Sesi penggal pertama persekolahan akan bermula pada 2 Januari 2018 ini.