Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru PTE Sengkurong terima anugerah PMCA di Thailand

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, telah menghadiri Majlis Penganugerahan Puteri Maha Chakri (Princess Maha Chakri Award, PMCA) ke-6 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, kelmarin.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, menyatakan majlis penganugerahan berkenaan disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn.

    PMCA diadakan setiap dua tahun untuk mengiktiraf guru-guru cemerlang dan memartabatkan profesion perguruan.

    Anugerah berkenaan turut menghargai guru-guru yang berjaya mengubah kehidupan pelajar dan memberi impak yang signifikan kepada komuniti.

    Pada 2025, anugerah berkenaan diberikan kepada para pemimpin dan guru dari 14 buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Viet Nam dan Timor-Leste.

    Buat julung kalinya, anugerah itu turut diperluaskan kepada tiga buah negara baharu, iaitu Bangladesh, Bhutan dan Mongolia.

    Gambar serahan Kementerian Pendidikan dan PMCA Committee

    Penerima PMCA dari Negara Brunei Darussalam ialah Dayang Shahrifah Haji Mohd Shahlan, seorang guru dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong yang telah berkhidmat selama 22 tahun.

    Beliau telah memperkenalkan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran inovatif yang dinamakan, ‘Blended Experiential Learning’, yang telah memberikan impak signifikan terhadap peningkatan pencapaian pelajarnya.

    Pendekatan berkenaan telah dikembangkan menjadi program latihan yang komprehensif dan rangka kerja perancangan pengajaran yang kini dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh Negara Brunei Darussalam.

    Kaedah pengajaran dan pembelajaran inovatif ‘Blended Experiential Learning’ bawah tuah buat Dayang Shahrifah. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan dan PMCA Committee
    Gambar serahan Kementerian Pendidikan dan PMCA Committee

    Beliau telah menerima pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru ke-33 pada 2023 dan Anugerah Penghargaan (Special Mention) sempena Sambutan Hari Guru ke-30 pada 2010.

    Selain itu, beliau turut menerima pengiktirafan antarabangsa seperti Microsoft Innovative Teachers Award serta pensijilan Google Educator dan pemenang 6th Asia Pacific Regional Innovation Education Forum di Singapura pada 2010.

    Semasa majlis berkenaan, Dayang Shahrifah turut menyertai sesi forum di mana beliau telah mengongsikan tentang kepentingan, blended experiential learning, dalam memupuk pelajar siaga masa depan (future-ready learners) serta peranan guru sebagai pemangkin kepada pembelajaran yang aktif dan berkesan.

    Turut sama menghadiri majlis itu ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda