Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru Singapura antara pengguna AI paling aktif dalam pendidikan

    SINGAPURA, 7 OKT – Guru-guru di Singapura berada dalam kalangan pengguna paling aktif teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan di peringkat global, dengan 75 peratus melaporkan mereka menggunakan teknologi itu untuk mengajar atau menyokong pembelajaran pelajar, menurut satu tinjauan rentas negara yang dikeluarkan hari ini.

    Sebagai perbandingan, purata global mencatatkan hanya 36 peratus, menurut Teaching and Learning International Survey 2024 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang meneliti pelbagai aspek utama profesion perguruan bagi membantu negara menyemak dasar pendidikan.

    Guru-guru Singapura juga melaporkan manfaat ketara daripada penggunaan AI, dengan kira-kira 82 peratus menyatakan teknologi itu membantu mereka merangka atau menambah baik rancangan pengajaran, manakala 74 peratus berkata ia memudahkan automasi tugas-tugas pentadbiran.

    Tinjauan itu melibatkan kira-kira 3,500 guru dan pengetua sekolah menengah dari 145 sekolah menengah awam dan 10 sekolah menengah swasta yang dipilih secara rawak di seluruh Singapura.

    Selain itu, guru-guru di Singapura turut berada dalam kelompok tertinggi dunia bagi penggunaan kaedah pengajaran dalam talian dan hibrid, dengan 81 peratus berkhidmat di sekolah yang menawarkan pembelajaran sedemikian dalam tempoh sebulan sebelum tinjauan dijalankan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda