Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru tadika rugi RM100,000 ditipu ‘suami’

    JOHOR BAHRU, 27 OKT – Seorang guru tadika kerugian RM100,000 selepas terperdaya dengan mesej di aplikasi WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai suaminya. 

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata mangsa berusia 52 tahun itu diminta meminjamkan wang bagi membantu ‘suaminya’, seorang pengurus besar syarikat swasta di Johor Bharu, atas alasan akaun bank miliknya tidak dapat digunakan untuk urusan perniagaan.

    “Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah melakukan tujuh transaksi pindahan wang ke tiga akaun berbeza berjumlah RM100,000 pada Jumaat lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat dia telah menanyakan kepada suaminya yang berada di China atas urusan kerja selama seminggu mengenai bayaran wang tersebut, namun dimaklumkan nombor WhatsApp suaminya telah digodam. 

    Raub berkata mangsa kemudiannya menyedari telah ditipu dan membuat laporan polis semalam. Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti suspek serta mengesan dan menangkap pihak terlibat. – Bernama 

    Guru tadika rugi RM100,000 ditipu ‘suami’. – Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda