BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Seramai 25 orang guru subjek Travel and Tourism dari sekolah menengah dan maktab kerajaan dan sekolah menengah swasta telah membuat lawatan ke Hotel Parkview, baru-baru ini.
Menurut kenyataan dari Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), kedatangan rombongan disambut oleh Pengurus Operasi Hotel, Dayang Safawati binti Salim, yang juga menyampaikan taklimat ringkas.
Selepas taklimat disampaikan, rombongan dibawa meninjau ke kemudahan yang ada di hotel tersebut seperti dewan majlis, bilik hotel, bilik spa, restoran dan bilik mesyuarat dan seterusnya sesi soal jawab.
Lawatan anjuran Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) yang merupakan ahli Subject Based Committee (SBC) Travel and Tourism itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan tentang operasi hotel dan pemahaman yang lebih baik tentang kepentingan perkhidmatan hospitaliti.
Diharapkan menerusi lawatan itu, guru-guru mata pelajaran Travel and Tourism akan dapat menggunakan maklumat yang diperolehi untuk diterapkan dalam pengajaran mereka dan memberi contoh tempatan.
Di akhir lawatan itu, setiausaha SBC Travel and Tourim, Hajah Latifah binti Haji Sawal dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain telah menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada Dayang Safawati bagi mewakili Hotel Parkview.
Sebagai tanda penghargaan, sijil penghargaan juga disampaikan kepada penganjur lawatan berkenaan iaitu, Dayang Nur Syazwani binti Ismail, Dayang Siti Hamizah binti Merali dan Dayang Nabilah binti Haji Suhaili, guru-guru dari SM YSHHB.


