IPOH, 23 FEB – Seorang guru tuisyen ditemukan maut dengan kesan kelar di leher serta lengan di sebuah rumah kedai di Jalan Chung Ah Ming, Taman Hoover di Ipoh, Perak kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata pengadu yang merupakan suami kepada wanita itu, membuat laporan polis berkenaan kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa ada meninggalkan pesanan kepada suaminya berkaitan tekanan hidup dan tidak dapat menahan sakit selepas menjalani pembedahan mata pada 19 Februari lepas.
“Dia ada buat pembedahan mata, jadi dia tertekan dan maklumkan kepada suaminya yang dia tidak boleh nak hidup. Kita percaya kematian itu lebih daripada enam jam, pasukan forensik dan patologi telah hadir buat pemeriksaan di tempat kejadian.
“Memang tidak ada foul play, tiada kesan-kesan lain yang mencurigakan (dan menjurus) kepada pembunuhan, dan kita tengok kecederaan itu pun (terdapat pisau lipat) pisau ada sebelah dia (mangsa),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Sajidan berkata setakat ini siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau berkata siasatan awal juga mendapati mangsa sebelum ini membuat pembedahan mata dan akibatnya terdapat nanah dalam matanya, membuatkan mangsa tertekan. – Bernama
