MATMATA – Terdapat beberapa alasan kenapa penggambaran filem asal ‘Star Wars’ dijalankan di padang pasir Selatan Tunisia iaitu kerana landskap yang luas ini kelihatan seperti berada di planet yang lain.
Salah satu kawasan padang pasir yang luas di Tunisia dikenali sebagai Tataouine, menyerupai planet Luke Skywalker, Tattoine.
Manakala rumah bawah tanah di mana Luke Skywalker pertama kali muncul bersama dengan bapa dan ibu saudaranya dalam filem tersebut adalah sebuah hotel yang memang wujud dan terletak di Matmata, salah sebuah lokasi padang pasir yang digunakan di dalam filem berkenaan.
“Ia kelihatan sama sebagaimana dalam filem tersebut,” kata Lorenzo Bresciani, salah seorang pemain tenis profesional dari Itali dan baru-baru ini telah melawat Hotel Sidi Driss.
“Apabila anda melihatnya di dalam filem, anda pasti akan berkata, ‘Ok’, namun apabila anda berada di sini, ia memberikan satu kesan yang berlainan dan berbeza sekali,” tambahnya lagi kepada media.


Pemilik hotel, Masoud Berachad berkata bahawa kebanyakan pelawat telah berkurangan sejak revolusi demokratik Tunisia yang meletus pada tahun 2011 dan juga selepas serangan pengganas yang telah membunuh pelancong pada tahun 2015. Namun bagi peminat filem tersebut, mereka terus menjadikan hotel ini sebagai satu medium untuk perniagaan.
“Mereka telah datang dan mengambil begitu banyak gambar malah anda akan dapat melihat betapa gembiranya mereka apabila tinggal di sini selama berjam-jam lamanya,” tambah Berachad lagi kepada media.
Puak asli Berbers
Sebelum menjadi sebuah hotel pada tahun 1969, hotel tersebut merupakan kediaman tradisional kepada puak asli Berber dan puak asli itu memainkan peranan utama dalam sejarah Afrika Utara dan Eropah selepas puak ini membentuk pakatan yang kuat bersama dengan Rom dan juga Arab.
Watak Jawas dalam ‘Star Wars’ menyerupai pakaian Berber tradisional, seperti juga Obi-Wan Kenobi yang turut sama mengenakan jubah itu.
Rumah bawah tanah milik Berbers itu diukir daripada batu pasir untuk memberikan satu perlindungan diri daripada haba dan juga sebagai lokasi bersembunyi daripada musuh.
Hanya beberapa penduduk sahaja yang masih mengekalkan hidup dalam rumah bawah tanah itu namun sebahagian yang lain pula telah dipelihara dan dijadikan sebagai muzium, termasuk milik Mahboub Theouibi, di mana keluarganya telah berpindah ke sebuah kediaman yang lebih moden kira-kira 25 tahun yang lalu.
Seperti kebanyakan lokasi-lokasi rumah bawah tanah yang lain, rumah-rumah ini dibina di kawasan yang terbuka dan luas.
“Saudara lelaki akan tinggal dalam satu bilik kecil manakala sepupu pula akan tinggal dalam bilik yang berlainan.
Setiap bilik hanya boleh diakses dengan menggunakan tangga,” kata Mahboub lagi kepada media. Dia turut teringat akan kemesraan setiap keluarga, walaupun mengharungi kehidupan yang susah seperti membawa air dengan menggunakan unta dan banyak lagi.
Kembara padang pasir
Untuk mengunjungi kawasan ini, ia memerlukan satu perjalanan yang sangat panjang dan menelusuri dataran yang terbuka. Lebuh raya yang panjang dan lurus akan terus melewati beberapa buah bandar-bandar industri seperti Gabes yang kaya dengan sumber minyak, manakala Gafsa pula terkenal dengan penghasilan fosfat.

Para penjual di tepi jalan akan menjual teh rebus di dalam periuk api panas, termasuk pastri dan seramik-seramik yang indah.
Selain itu, terdapat juga pondok-pondok kopi yang dipenuhi dengan penduduk sambil merokok dan bermain kad.
Di sebuah kawasan yang dipanggil sebagai Tamezret, Mongi Bouras, seorang seniman dari suku asli Berber yang berusia 50 tahun telah mengubah rumah bawah tanahnya menjadi sebuah muzium sekali gus berfungsi untuk mempamerkan sejarah rakyat suku asli itu.
Muzium itu dipenuhi dengan pelbagai jenis karya seni tradisional yang begitu cantik dan dibuat dengan menggunakan tangan, gaun, selimut, permaidani, patung-patung yang dihiasi dengan pakaian tradisional. Selain itu, muzium ini turut dipenuhi dengan objek yang hanya akan dapat dijumpai di rumah-rumah Berber seperti anak lesung dan balang yang dipanggil sebagai ‘amphorae’.
Dia turut berkata bahawa kebanyakan simbol-simbol animistik, Yahudi, Kristian dan Muslim menjadi sebahagian daripada kraf dan corak masyarakat Berber malah kebanyakan kraf tangan masyarakat ini mencerminkan pelbagai corak yang mempamerkan simbol-simbol tertentu.
Sebuah lokasi yang ditinggalkan
Sebuah kawasan yang berdekatan dengan padang Sahara, ufuk yang lebih panjang dan trafik juga jarang berlaku serta mempamerkan profil gunung yang begitu menakjubkan dan indah, itulah sebuah bandar, Douz. Kebanyakan menu restoran menyenaraikan hidangan susu unta, kepala kambing dan ikan bakar yang diperolehi dari Laut Mediterranean.
Satu lagi bandar di pinggir Sahara, Tozeur, kelihatan sibuk dan dipenuhi dengan kedai-kedai, masjid, kafe, pasar dan kenderaan yang lalu lintas.
Kemudian, di luar Tozeur, mempamerkan satu pemandangan yang luar biasa dan menakjubkan iaitu kawasan peninggalan penggambaran filem ‘Star Wars’ yang lain, sebuah tempat yang dipanggil sebagai ‘Mos Espa’ dalam filem tersebut.
Kebanyakan vendor menjual kraf dan seni di kawasan itu malah ada juga jurugambar menawarkan perkhidmatan bergambar di atas unta atau bersama dengan burung padang pasir yang eksotik.
Apabila matahari terbenam, bukit dan padang pasir akan membentuk satu warna yang aneh dan pelik serta ia seolah-olah memperlihatkan kita seperti berada di planet yang lain. – AP