RIO DE JANEIRO, 9 APRIL – Pemain tengah Sao Paulo, Luiz Gustavo, telah dibenarkan keluar dari hospital selepas mengalami darah beku di paru-paru, lapor Xinhua memetik kelab Serie A Brazil itu kelmarin.
Gustavo dimasukkan ke Hospital Albert Einstein di Sao Paulo pada Sabtu selepas mengadu sakit dada ketika menjalani latihan awal hari yang sama.
Hasil ujian imbasan mendapati pemain berusia 37 tahun itu mengalami embolisme pulmonari, iaitu penyumbatan pada arteri yang membekalkan darah ke paru-paru.
“Dengan keadaan klinikal yang stabil, pemain itu akan terus menerima rawatan ubat-ubatan dan diarahkan berehat serta tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal untuk tempoh 10 hari akan datang,” menurut kenyataan di laman web rasmi Sao Paulo.
“Pada akhir tempoh itu, beliau akan menjalani pemeriksaan perubatan baharu di hospital,” tambah kenyataan itu.
Gustavo memulakan karier profesionalnya bersama kelab bukan liga, Ipanema Atletico Clube pada 2006, sebelum menyertai Sao Paulo tahun lalu selepas 17 tahun beraksi di Eropah dan Asia. – Bernama
