BOGOTA, 20 JUN – Gustavo Petro memenangi jawatan Presiden Colombia kelmarin selepas menewaskan calon bebas Rodolfo Hernandez pada pusingan kedua pilihan
raya, lapor Jabatan Pendaftaran Awam Negara.
Dengan seramai 99.67 peratus rakyat keluar mengundi, Petro, calon Pakatan Bersejarah bagi Colombia yang berhaluan kiri, berdepan saingan sengit merebut jawatan itu dengan memperoleh 11,266,138 undi, atau 50.48 peratus daripada jumlah undi, manakala Hernandez memperoleh 10,546,163 undi (47.26 peratus), lapor Xinhua.
Petro menerusi ciapan dalam laman Twitter berkata bahawa hari ini ialah hari “sambutan”.
“Mari kita raikan kemenangan bersejarah kita yang pertama.
“Kemenangan ini didedikasikan untuk Tuhan, untuk rakyat, dan ia bersejarah. Hari ini adalah hari perayaan di jalanan dan dataran,” katanya.
Presiden Ivan Duque menerusi ciapannya memaklumkan beliau telah menghubu-ngi Petro untuk mengucapkan tahniah atas kemenangannya.
Petro, 62, merupakan seorang senator serta bekas datuk bandar Bogota, dan dijangka memulakan tugas secara rasmi pada 7 Ogos nanti. – Bernama
