ROM, 24 JULAI — Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres hari ini menggesa Rusia untuk menyambung semula perjanjian perdagangan yang diuruskan di peringkat antarabangsa supaya bijirin dapat dihantar dari pelabuhan Laut Hitam Ukraine, sambil berkata jika tidak, golongan yang paling terdedah di dunia dalam kalangan orang yang kelaparan akan mengalami akibat yang paling teruk.
Ketua PBB itu membuat gesaan tersebut semasa berucap di Rom sempena pembukaan sidang kemuncak sistem makanan selama tiga hari.
“Dengan kegagalan perjanjian bijirin Ukraine-Rusia baru-baru ini, golongan yang paling terdedah akan menanggung akibat yang paling teruk,” kata Guterres. Beliau kesal bahawa kenaikan harga gandum dan jagung global telah berlaku, walaupun tidak menyatakan sebarang angka.
“Kedua-dua Rusia dan Ukraine adalah penting untuk keselamatan makanan global,” kata ketua PBB itu. Beliau menyatakan bahawa kedua-duanya sebelum ini telah menyumbang 30 peratus daripada eksport gandum dan barli global, satu perlima daripada semua jagung dan lebih separuh daripada semua minyak bunga matahari.
“Bagi pihak saya, saya tetap komited untuk memudahkan akses tanpa halangan ke pasaran global untuk produk makanan dan baja dari Ukraine dan Persekutuan Rusia dan untuk menyampaikan keselamatan makanan selayaknya untuk setiap orang,” kata ketua PBB itu.
“Saya menyeru Persekutuan Rusia untuk kembali kepada pelaksanaan Inisiatif Laut Hitam, selaras dengan cadangan terbaru saya,” kata Guterres sambil menggesa masyarakat antarabangsa bersatu untuk mencari penyelesaian bagi isu tersebut semasa ucaptama sidang kemuncak itu. – AP
