Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guterres ikrar terus beri bantu

    SEOUL, 29 Mac – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres telah mengesahkan sokongannya terhadap usaha Korea Selatan ke arah pembasmian senjata nuklear dan keamanan yang berkekalan di Semenanjung Korea, lapor agensi berita Yonhap memetik kementerian luar Seoul hari ini.

    Dalam rundingan dengan Menteri Luar Kang Kyung-wha di New York kelmarin (waktu tempatan), beliau berkata Korea Utara mahupun Korea Selatan telah menyatakan kesediaan mereka untuk berdialog meskipun sidang kemuncak mereka di Hanoi gagal mencapai kata sepakat.

    Beliau berkata PBB akan menyediakan sokongan berterusan bagi membolehkan usaha damai Korea Selatan membuahkan hasil, menurut kementerian itu.

    Kang memberi taklimat kepada beliau mengenai keadaan keselamatan serantau dan usaha Seoul untuk mengekalkan momentum dialog serta memudahkan rundingan antara Pyongyang dan Washington.

    Menyentuh lawatan ke New York bagi menghadiri sesi peringkat menteri misi pengaman PBB, Kang berkata kerajaannya akan terus menawarkan pelbagai bentuk sokongan kepada aktiviti misi pengaman PBB.

    Kang hari ini merancang untuk ke Washington DC bagi mengadakan rundingan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkaitan isu Korea Utara.

    Ia akan menjadi pertemuan pertama mereka sejak sidang kemuncak Hanoi pada lewat Februari.

    Jabatan Negara AS mengumumkan bahawa ia akan menghantar Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Politik David Hale ke sesi PBB minggu ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda