Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guterres keluarkan ‘SOS global’ di Pasifik

    NUKU’ALOFA, TONGA, 27 OGOS – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menghantar ‘SOS’ iklim global pada sidang kemuncak kepulauan Pasifik hari ini, melancarkan penyelidikan yang menunjukkan lautan di rantau ini meningkat lebih pantas daripada purata global.

    “Saya berada di Tonga untuk mengeluarkan SOS global, Save Our Seas, mengenai kenaikan paras laut. Malapetaka di seluruh dunia telah mengancam alam semula jadi Pasifik ini,” katanya.

    Dengan populasi yang tidak padat dan sedikit kegiatan perindustrian berat, pulau-pulau Pasifik secara kolektif mengeluarkan kurang daripada 0.02 peratus daripada pelepasan global setiap tahun.

    Namun lingkaran kepulauan gunung berapi yang luas dan atol karang juga menghuni koridor tropika yang diancam pesat oleh lautan yang semakin naik.

    Pertubuhan Meteorologi Dunia telah memantau tolok air pasang yang dipasang di pantai terkenal Pasifik sejak awal 1990an.

    Antonio Guterres bergambar dengan belia Tonga selepas melawat Hihifo, kawasan yang terjejas akibat letusan gunung berapi dan tsunami pada 2022, di Dewan Masyarakat Kanokupolu di Tongatapu, kelmarin. – AFP

    Laporan baharu yang dikeluarkan oleh badan pemantauan iklim PBB menunjukkan bahawa laut telah meningkat sekitar 15 sentimeter (cm) di beberapa bahagian Pasifik dalam tempoh 30 tahun yang lalu.

    Purata global ialah 9.4cm, menurut laporan itu. “Sudah semakin jelas bahawa kita kesuntukan masa untuk mengubah keadaan,” kata pegawai tertinggi agensi ramalan itu, Celeste Saulo.

    Sesetengah lokasi, terutamanya di Kiribati dan Kepulauan Cook, merekodkan kenaikan yang sepadan atau berada di bawah purata global.

    Tetapi lokasi-lokasi lain, seperti ibu negara Samoa dan Fiji, paras air meningkat hampir tiga kali ganda lebih tinggi.

    Di negara rendah Pasifik, Tuvalu, tanah telah pun amat terhad sehingga ramai kanak-kanak menggunakan landasan lapangan terbang antarabangsa sebagai taman permainan sementara.

    Saintis telah memberi amaran bahawa, walaupun dalam beberapa senario sederhana, Tuvalu boleh hampir sepenuhnya dihapuskan daripada peta dalam tempoh 30 tahun akan datang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda