Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guterres puji peranan Bangladesh dalam misi pengaman PBB

    NEW DELHI, 16 MAC – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memuji peranan Bangladesh dalam misi pengaman antarabangsa serta kemurahan hatinya dalam menerima pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

    Bangladesh adalah antara penyumbang terbesar kepada usaha pengaman PBB, kata Guterres pada satu acara media di Dhaka kelmarin.

    “Saya ingin memberi penghormatan kepada pengorbanan dan dedikasi pasukan pengaman Bangladesh, yang berkhidmat dalam beberapa persekitaran paling sukar dan berbahaya di dunia,” katanya.

    Guterres, yang tiba di negara itu pada Khamis untuk lawatan selama empat hari pada Jumaat melawat Cox’s Bazar, kem pelarian terbesar yang menempatkan lebih sejuta etnik Rohingya yang kehilangan tempat tinggal.

    Ketua PBB itu dan Penasihat Luar kerajaan sementara Bangladesh, Mohammad Touhid Hossain, menghadiri sidang media bersama di Dhaka kelmarin.

    Beliau menekankan ‘kemurahan hati luar biasa’ Bangladesh dalam menangani krisis Rohingya.

    “Selama bertahun-tahun, rakyat negara ini, terutamanya komuniti di Cox’s Bazar, telah menyediakan perlindungan kepada lebih sejuta pelarian yang melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan. Dengan memberikan perlindungan kepada pelarian Rohingya, Bangladesh telah menunjukkan solidariti dan nilai kemanusiaan, selalunya dengan kos sosial, alam sekitar dan ekonomi yang ketara,” kata Guterres.

    Ketua PBB itu turut menyuarakan solidariti dengan Bangladesh ketika negara itu melalui fasa peralihan politik di bawah Ketua Penasihat Kerajaan Sementara, Muhammad Yunus, susulan kejatuhan kerajaan Sheikh Hasina pada Ogos tahun lalu selepas protes yang diketuai pelajar selama beberapa minggu. – Bernama

    Guterres tiba untuk berbuka puasa bersama pelarian Rohingya di kem Ukhiya di Cox’s Bazar, di Bangladesh pada 14 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda