Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gyokeres bantu Arsenal benam Leeds

    LONDON, 24 OGOS – Viktor Gyokeres menjaringkan dua gol pertamanya bersama Arsenal ketika The Gunners memberikan Leeds pengajaran pahit tentang cabaran Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan besar 5-0 di Stadium Emirates.

    Arsenal kini mendahului seteru utara London, Tottenham Hotspur, di tangga teratas liga melalui perbezaan jaringan, dengan kedua-dua pasukan itu menjadi satu-satunya yang mengekalkan rekod sempurna selepas dua perlawanan pembukaan setakat ini.

    Jurrien Timber membuka jaringan sebelum Bukayo Saka menggandakan kedudukan dengan rembatan deras dari sudut sempit.

    Gyokeres, yang direkrut dari Sporting Lisbon sebagai penyelesaian kepada keperluan Arsenal mencari penyerang nombor sembilan berbisa, membuktikan kemampuannya walaupun ada keraguan terhadap keupayaannya untuk menyesuaikan diri di Liga Perdana Inggeris, meskipun rekod prolifiknya dengan 97 gol dalam 102 perlawanan bersama Sporting.

    Pemain antarabangsa Sweden itu mencuri tumpuan dengan larian solo dan penyudah kemas sebelum Timber menambah gol keduanya hasil sepakan sudut Declan Rice.

    Aksi Bukayo Saka menjaringkan gol kedua pasukannya dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Arsenal dan Leeds United di Stadium Emirates, London, England, pada 23 Ogos. – AP
    Viktor Gyokeres menjaringkan dua gol pertamanya bersama Arsenal ketika The Gunners memberikan Leeds pengajaran pahit tentang cabaran Liga Perdana Inggeris. – AP

    Gyokeres kemudian melengkapkan pesta jaringan dengan menyempurnakan sepakan penalti pada detik akhir perlawanan.

    Hari penuh keceriaan penyokong tuan rumah sudah bermula sebelum sepak mula apabila pemain baharu bernilai £60 juta, Eberechi Eze, diperkenalkan selepas menolak tawaran perpindahan ke Tottenham.

    Namun, kegembiraan itu sedikit tercalar apabila ketua pasukan, Martin Odegaard dan tonggak utama Saka terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Odegaard meninggalkan padang selepas dipercayai mengalami kecederaan bahu akibat terjatuh, manakala Saka digantikan pada minit ke-53 sambil memegang bahagian belakang paha kirinya.

    Mikel Arteta kemudiannya memberi peluang debut Liga Perdana Inggeris kepada pemain muda berusia 15 tahun, Max Dowman, yang menjadi pemain kedua termuda pernah beraksi di liga utama England selepas rakan sepasukannya, Ethan Nwaneri.

    Aksi lincah Dowman memaksa Leeds menghadiahkan sepakan penalti di masa kecederaan, yang berjaya disudahkan Gyokeres untuk melengkapkan kemenangan besar Arsenal. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda