Oleh Normazlina M.D.
SETELAH dikenali dengan lagu Diriku Bukan Superstar pada tahun 2016 dan Inilah Cinta duet bersama dengan Fiez Ismail pada tahun lalu, Gzulyusof dilihat terus mengorak langkah lagi untuk terus aktif dalam industri seni tempatan.
Penerimaan lagu tersebut memang berada di luar jangkaan sehingga ia kerap menjadi permintaan sekali gus menjadikan namanya tidak asing lagi dalam kalangan pendengar tempatan.
Selain itu, apa yang membanggakan adalah apabila lagu Inilah Cinta turut berjaya menduduki tempat pertama selama beberapa minggu dalam ‘Carta Kitani’ yang merupakan salah satu segmen di Pelangi FM (91.4 FM) dan antara lagu yang lama bertahan di dalam carta di sepanjang tahun 2017.
“Sejujurnya, saya agak terkejut terhadap sambutan yang diterima terhadap lagu Inilah Cinta sehingga ia turut tercalon dalam Top 5 bagi kategori ‘Lagu Pilihan 2016-2017’ di Anugerah Pelangi yang diadakan pada tahun lalu,” jelas Gzulyusof.
Gzulyusof dan pasangan duetnya Fiez Ismail turut diberikan kesempatan untuk mempersembahkan lagu itu buat pertama kalinya di dalam salah satu anugerah berprestij di negara ini dengan jumlah penonton yang berskala besar.

Dengan pencapaian itu, Gzulyusof terus bersemangat dan ketika ini sibuk membuat persediaan untuk tampil dengan lagu baharu sebagai hadiah kepada para peminatnya yang tiada henti memberikan sokongan selama ini.
“Lagu itu dihasilkan sepenuhnya oleh Ezueone yang merupakan pencipta lagu bagi lagu Inilah Cinta dan kini masih lagi mengekalkan Fiez Ismail sebagai pasangan duet untuk membawakan lagu terbaharu ini,” jelas Gzulyusof.
Menurutnya lagi lagu berkenaan telahpun siap sebanyak 90 peratus dan hanya memerlukan beberapa perubahan sebelum lagu itu secara rasminya diputarkan di corong-corong radio tempatan.
Apa yang diharapkan lagu tersebut dapat diterima oleh pendengar sebagaimana pada lagu duet sebelum ini.
Gzulyusof turut melahirkan penghargaan atas sokongan tanpa henti yang diberikan oleh orang ramai terutama peminatnya dan Insya-Allah dengan terhasilnya lagu terbaharu itu bakal menjadi siulan sekali gus menyerikan lagi persada seni suara tanah air.