Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Penularan pandemik COVID-19 telah mempercepatkan lagi penggunaan teknologi digital di mana sebahagian besar perubahan yang disaksikan itu, akan terus berkekalan.
Dalam hubungan itu, ia dapat membantu kita untuk menjadi lebih kuat dalam pemulihan pasca COVID-19 tetapi hanya jika kita sudah bersedia kerana teknologi terus berkembang dengan pesat dan merubah landskap pekerjaan di rantau ASEAN.
Oleh itu, ia memerlukan kita untuk meningkatkan kemahiran dan mempelajari kemahiran baharu supaya dapat menyesuaikan diri kepada perubahan industri selaras dengan keperluannya.
Ke arah itu, Projek Warisan Brunei ASEAN BAC (Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei), H.I.R.E.D (Harnessing Impact with Resilient Employability Digitally) dibangunkan untuk menangani isu pengangguran dan juga menangani masalah yang dihadapi oleh ASEAN yang ketinggalan dalam usaha untuk meningkatkan dan memberikan kemahiran baharu tenaga kerjanya.
Perkara itu dinyatakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN 2021, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman dalam ucapannya semasa Pelancaran Projek Warisan Brunei ASEAN BAC, H.I.R.E.D, yang diadakan pada Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021, Kemahiran bagi Sebuah Zaman Digital, yang diadakan secara maya, hari ini.
Projek itu lebih penting dan bertepatan pada masa ini disebabkan oleh impak pandemik serta untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN SDGs) khususnya matlamat keempat iaitu pendidikan berkualiti dan matlamat kelapan iaitu pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi.
Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty berkata projek warisan itu akan menyediakan peluang bagi ke-perluan semua penduduk bukan sahaja di Brunei tetapi juga di rantau ASEAN memperoleh kemahiran relevan untuk mencapai potensi produktiviti mereka yang sebenar dalam menjadi relevan serta bolehkerjaan dalam industri masa kini.
Usaha untuk meningkatkan kemahiran dan memberikan kemahiran baru, ulasnya lagi, bukan sahaja melihat kepada belia yang baru menamatkan pengajian tetapi juga tenaga kerja yang sedia ada di mana pekerja masa kini berhadapan dengan cabaran serta sekuriti pekerjaan yang memerlukan mereka untuk meningkatkan kemahiran dan memperoleh kemahiran baharu supaya dapat menyesuaikan diri mereka kepada dunia pekerjaan yang berpandukan teknologi.
Dengan Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta negara yang berjaya, ulasnya lagi, memperoleh pembangunan kemahiran melalui latihan adalah komponen yang mustahak dalam pendidikan.
“Dalam jangka panjang, institusi pendidikan mungkin harus mengkaji semula sistem pendidikan yang sedia ada dan meningkatkannya dengan memasukkan kemahiran untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam memastikan tenaga kerja yang bersedia pada masa hadapan,” tambahnya.
Majlis seterusnya menyaksikan dua sesi perbincangan iaitu Masa Hadapan Pekerjaan dan Kemahiran bagi Zaman Digital di mana ahli-ahli panel jemputan dari dalam dan luar negara yang hadir secara maya, mengongsi mengenai bagaimana untuk membangunkan set kemahiran yang tetap sebuah ekonomi bersiap sedia menempuh Revolusi Perindustrian 4.0 dan masa hadapan dengan COVID-19.