Saturday, February 8, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    H5N1 dikesan pada lembu tenusu AS

    WASHINGTON, 7 FEB – Satu varian selesema burung (H5N1) yang tersebar secara meluas dalam kalangan burung – dan yang telah menimbulkan gejala teruk dalam sesetengah orang – telah dikesan dalam lembu tenusu Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama, kata pihak berkuasa.

    Pengesanan itu telah menambah lagi kebimbangan bahawa wabak H5N1 di seluruh dunia, yang telah memberi kesan ketara kepada industri ayam, boleh berubah menjadi pandemik manusia.

    Jabatan Pertanian AS (USDA) mengesahkan Rabu lalu bahawa H5N1 yang dikesan pada lembu di negeri barat daya Nevada adalah daripada genotip D1.1.

    Genotip virus berbeza – B3.13 – telah menular secara meluas dalam kalangan ladang lembu AS sejak tahun lepas, dengan lebih 950 kes direkodkan di 16 negeri.

    Beberapa pekerja ladang itu telah dijangkiti strain B3.13 tahun lepas, tetapi hanya mengalami gejala ringan.

    Strain D1.1 sebaliknya telah dikaitkan dengan sebilangan kecil kes manusia yang serius, termasuk kematian pertama AS akibat H5N1 awal Januari lalu.

    Pihak berkuasa kesihatan pada masa itu berkata pesakit, berusia 65 tahun, mempunyai keadaan perubatan atau penyakit yang mengganggu kehidupan atau aktiviti harian, akan tetapi risikonya kepada orang ramai kekal rendah.

    USDA berkata di laman webnya bahawa genotip D1.1 mewakili genotip utama dalam penghijrahan spesies burung di Amerika Utara pada musim luruh dan musim sejuk yang lalu dan telah dikenal pasti dalam burung liar, mamalia dan juga ayam ternakan tempatan. – AFP

    Gambar bertarikh 6 Ogos 2024 menunjukkan embu tenusu berada di ladang di luar kandang pemerah susu di kemudahan penyelidikan Pusat Penyakit Haiwan Kebangsaan Jabatan Pertanian AS di Ames, Iowa. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda