Jumaat, 21 November 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haaland bantu City tundukkan United

    MANCHESTER, 15 SEPT – Erling Haaland menjaringkan dua gol untuk Manchester City dalam kemenangan 3-0 menewaskan Manchester United kelmarin.

    Phil Foden membuka tirai jaringan sebelum Haaland memainkan watak penting di tengah padang dengan jaringan dua gol pada separuh masa kedua, ketika City bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana.

    Kemenangan itu semakin menambah luka United dan Amorim, yang hanya meraih empat mata daripada empat perlawanan pembukaan mereka dan disingkirkan daripada Piala Liga oleh Grimsby, pasukan divisyen keempat.

    “Dalam permainan seperti ini kami perlu sempurna (tetapi) kali ini kami tidak sempurna,” kata Amorim. “Kekecewaan pasti terasa kerana dengan jumlah peluang (kami cipta), kami perlu menjaringkan gol.”

    Untuk menyempurnakan persembahan City yang baik, penjaga gol Gianluigi Donnarumma menandakan penampilan sulungnya dengan aksi penyelamatan menakjubkan menafikan percubaan Bryan Mbeumo semasa kedudukan 2-0.

    “Kami memerlukan ini,” kata Haaland pula. “Awda sentiasa mahu memenangi perlawanan derby tetapi hari ini awda dapat lebih rasakannya. Saya sangat lega, sangat gembira kami berjaya. Kami perlu teruskannya.”

    Benteng pertahanan United yang longgar membenarkan Jeremy Doku meluru ke garisan tepi sebelum membuat hantaran silang mencari Foden yang tidak dikawal dan menanduk masuk gol pembukaan.

    Doku adalah penyumbang sekali lagi apabila City menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-53 melalui jaringan Haaland yang mempamerkan kuasa, kepantasan dan ketepatan yang luar biasa menewaskan Altay Bayindir.

    Kesilapan Harry Maguire juga dihukum City apabila Haaland memanfaatkan peluang dan dengan tenang untuk menjaringkan gol menambah kedudukan 3-0. – AFP

    Gaya Erling Haaland di penghujung perlawanan setelah menewaskan Manchester United di Stadium Etihad di Manchester, England kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda