Saturday, January 4, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haaland, Bonmati Pemain Terbaik UEFA

    MONACO, 1 SEPT – Erling Haaland dari Manchester City dan bintang juara Piala Dunia Sepanyol, Aitana Bonmati masing-masing memenangi anugerah Pemain Lelaki dan Wanita Terbaik UEFA pada satu majlis di Monaco kelmarin.

    Penyerang Norway, Haaland menjaringkan 52 gol dalam 53 perlawanan untuk membantu City meraih treble Liga Juara-juara, Liga Perdana dan Piala FA, manakala Bonmati memberi inspirasi kepada Sepanyol untuk menjulang Piala Dunia baru-baru ini.

    Pencapaian Haaland pada musim pertamanya bersama City selepas menyertai dari Borussia Dortmund menyaksikannya menerima anugerah lelaki, di mana rakan sepasukannya, Kevin De Bruyne dan Lionel Messi turut tercalon. Messi bermain untuk Paris Saint-Germain musim lalu tetapi sejak itu telah meninggalkan kelab tersebut untuk menyertai Inter Miami dalam Major League Soccer.

    “Saya sedang menikmati kejayaan. Ini adalah impian saya ketika saya masih muda, jadi untuk dapat melakukannya bersama rakan sepasukan saya adalah sesuatu yang istimewa,” kata Haaland, 23, selepas menerima anugerahnya.

    Bonmati, 25, menjulang nama Barcelona selepas memenangi Liga Juara-juara Wanita musim lalu kemudian dinamakan pemain terbaik kejohanan itu untuk peranannya dalam kejayaan Sepanyol menjuarai Piala Dunia di Australia dan New Zealand.

    Dia mengatasi rakan sepasukannya dari Sepanyol, Olga Carmona, penjaring gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Dunia menentang England, serta penyerang Chelsea dan Australia, Sam Kerr untuk memenangi anugerah UEFA.

    “Ini adalah musim yang tidak akan saya lupakan,” kata Bonmati. – AFP

    Bonmati (kanan) dan Haaland memegang anugerah yang dimenangi mereka selepas undian peringkat kumpulan Liga Juara-juara UEFA 2023/24 di Forum Grimaldi, Monaco, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda