Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haaland pecah rekod 50 gol, City tundukkan Napoli

    MANCHESTER, 19 SEPT – Penyerang Manchester City, Erling Haaland mencipta gol yang memecahkan rekod ketika pasukan Pep Guardiola memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kemenangan dominan 2-0 ke atas Napoli yang beraksi dengan 10 pemain, kelmarin.

    Erling Haaland mencipta sejarah apabila menjadi pemain paling pantas menjaringkan 50 gol Liga Juara-Juara Eropah, semasa pertandingan elit Eropah apabila dia bijak menanduk masuk gol Phil Foden pada minit ke-56.

    City menambah gol kedua sembilan minit kemudian menerusi Jeremy Doku yang pantas melepasi dua pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Vanja Milinkovic-Savic dari sudut sempit.

    Pendahulu Serie A, Napoli terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-21 selepas kapten Giovanni Di Lorenzo dilayangkan kad merah kerana mengasari Haaland.

    Situasi itu memaksa pengendalinya, Antonio Conte mengorbankan bekas kapten City, Kevin De Bruyne, yang dikeluarkan seawal minit ke-25 pada kepulangannya ke Etihad.

    Erling Haaland menjaringkan gol pertama mereka menewaskan Vanja Milinkovic-Savic pada 18 September. – Reuters
    Erling Haaland mencipta gol yang memecahkan rekod ketika pasukan Pep Guardiola memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kemenangan dominan ke atas Napoli yang beraksi dengan 10 pemain. – Reuters

    City mendominasi sepanjang perlawanan dengan 23 percubaan berbanding satu sahaja buat Napoli, namun Milinkovic-Savic tampil cemerlang menafikan beberapa peluang, termasuk kesilapan Matteo Politano yang hampir membolosi gawang sendiri.

    “Erling sentiasa membuat larian itu. Dia seperti memecah semua rekod. Apa yang dia lakukan memang luar biasa,” kata Foden.

    De Bruyne yang berusia 34 tahun, yang memenangi 16 trofi dalam sedekad cemerlang di City sebelum berlepas ke Itali apabila kontraknya tamat pada Jun, menerima sambutan hangat daripada penonton Etihad.

    Dia mengelilingi padang selepas tamat perlawanan untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong.

    Conte mengakui kad merah merencatkan perancangan, “Menentang City dengan 11 lawan 11 pun sudah sukar, apatah lagi selepas 20 minit kami kekurangan seorang pemain.

    Namun saya bangga dengan mentaliti pasukan yang bertahan bersama.”

    City, juara Eropah 2023, kini memburu slot lapan teratas fasa liga bagi memastikan tempat automatik ke pusingan 16 terbaik dan mengelak aksi playoff dua perlawanan seperti musim lalu apabila disingkirkan Real Madrid. – Reuters

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda