Haaland pecahkan rekod liga juara-juara

DORTMUND, 25 NOV – Erling Braut Haaland memecahkan satu lagi rekod Liga Juara-Juara apabila meledakkan dua gol ketika membantu pasukannya Borussia Dortmund melakarkan kemenangan ke atas Club Brugge 3-0.

Jaringan Haaland di minit ke-18 menjadikannya pemain pertama meledakkan 15 gol dalam aksi di Liga Juara-Juara, jumlah jaringan paling banyak berbanding pemain lain dalam sejarah kejohanan.

Pemain dari Norway berusia 20 tahun itu mencipta rekod berkenaan sepanjang tempoh 12 penampilan, memadamkan rekod sebelum ini yang dicipta oleh Ruud van Nilsterooy dan Roberto Soldado.

“Erling adalah pemain yang menakjubkan. Dia bekerja keras di dalam dan luar padang, dia berhak mendapat pencapaian ini.

“Saya gembira dapat membantu dan ia lebih mudah kerana dia seorang pemain yang cekap,” kata rakan pasukannya Jadon Sancho.

Reaksi Erling Braut Haaland dari Dortmund ketika meraikan jaringan golnya semasa perlawanan kumpulan F Liga Juara-Juara antara Borussia Dortmund dan Club Brugge semalam. – AP

Haaland menambah lagi jaringannya di separuh masa kedua untuk Dortmund mengukuhkan lagi kedudukan di Kumpulan F.

Dengan berbaki dua perlawanan, skuad kendalian Lucien Favre kini satu mata di depan Lazio yang berada di tangga kedua dan lima mata di atas Brugge di tangga ketiga.

Dortmund mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama dan Haaland hanya memerlukan 70 saat untuk melepaskan rembatan namun tersasar melepasi palang gol Brugge.

Haaland menjaringkan gol pada minit ke-18, melakukan rembatan rendah melepasi Simon Mignolet.

Sancho, yang menghadapi kritikan musim ini dan berada di bangku simpanan semasa menentang Hertha Berlin pada hujung minggu lalu, mencatat prestasi yang sangat baik setelah kembali ke dalam kesebelasan utama. – AFP