BERLIN, 30 DIS – Kelab Jerman Bundesliga, Borussia Dortmund telah mengumumkan penandatanganan penjaring muda sensasi Erling Braut Haaland dari RB Salzburg hari ini, menewaskan pelbagai kelab Eropah teratas.
Dortmund berkata, penyerang Norway yang berumur 19 tahun tersebut menjaringkan lapan gol dalam peringkat kumpulan Liga Juara-juara musim ini, telah menandatangani kontrak sehingga 2024 namun tiada butiran mengenai pembayarannya.
Haaland telah menarik perhatian kelab-kelab di seluruh Eropah, dikhabarkan Juventus dan Manchester United juga berminat untuk mendapatkan khidmatnya, setelah menjaringkan 28 gol dalam 22 perlawanan di seluruh perlawanan setakat ini.
Pesaing terdekat Dortmund, RB Leipzig mengesahkan minat mereka awal bulan ini tetapi Haaland memilih Dortmund sebagai pilihan pertamanya.
“Sejak awal lagi saya mempunyai rasa untuk berkhidmat bagi kelab ini,” katanya.
Dia akan bergabung dengan rakan sepasukan baharunya pada 3 Januari untuk kem latihan di Marbella sebelum Dortmund meneruskan perlawanannya di Ausburg pada 18 Januari.
Dalam video yang disiarkan di laman web Dortmund, Haaland mengucapkan selamat tahun baharu kepada peminat Dortmund.
Pada awal bulan Disember, penyerang tersebut telah dilihat berada di bandar tersebut untuk berjumpa wakil kelab tersebut. – AFP
