Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hab akuakultur udang mesra alam, sistem AI dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Membangunkan sebuah hab inovasi akuakultur berteknologi pintar di rantau ASEAN sementara mengutamakan kelestarian alam sekitar melalui penggunaan tenaga suria dan prinsip pelepasan sifar bersih merupakan projek baharu yang dilancarkan oleh Jets Sdn Bhd, sebuah syarikat akuakultur tempatan, bersama syarikat induknya, DABANC Group.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa cuba menangkap udang selepas pelancaran tersebut. –GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis pelancaran pangkalan akuakultur udang pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu telah disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    “Kemudahan ini menandakan permulaan era baharu penternakan udang yang lebih cekap, mesra alam dan didorong oleh teknologi mo-den,” kata Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan.

    Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf, projek itu mewakili satu pencapaian penting dalam usaha negara memajukan industri akuakultur dengan menumpukan kepada penternakan semula udang biru, yang dikenali dengan nilai pemakanan serta potensi pasaran tinggi.

    Tambahnya beliau, kemudahan yang menggunakan tenaga bersih serta dipacu sistem kecerdasan buatan (AI) ini menjadi simbol permulaan era akuakultur pintar yang menyeimbangkan antara peningkatan produktiviti dan pemeliharaan alam sekitar.

    Projek AquaPV.

    Projek kerjasama itu merupakan pangkalan akuakultur udang pertama di Asia Tenggara yang akan beroperasi menggunakan sistem AquaPV berkuasa solar dan AI.

    Ia sejajar dengan matlamat kementerian untuk meningkatkan pengeluaran makanan menggunakan teknologi moden dan pada masa yang sama memelihara alam sekitar sebagai teras pembangunan ekonomi mampan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyatakan projek itu bukan sahaja akan menyokong pertumbuhan sektor akuakultur, malah menjadi model operasi baharu yang mampan bagi sektor perikanan di rantau ini.

    “Selain memberi kesan kepada sektor perikanan, projek ini juga memberi sumbangan besar dalam menangani isu perubahan iklim global,” tegasnya.

    Beliau merujuk kepada laporan ASEAN Climate Resilience Network 2022 yang menyatakan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menyumbang antara 13 hingga 21 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau (GHG) global.

    Oleh itu, Projek Net Zero AquaPV ini yang merangkumi kolam seluas 10,000 meter persegi dan dikuasakan oleh tenaga solar, merupakan satu contoh cemerlang sistem pertanian luar-grid yang berdaya tahan dan efisien.

    “Sistem ini jelas menunjukkan sinergi antara penjanaan tenaga bersih dan akuakultur lestari. Ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, tetapi turut menyokong matlamat negara untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050,” jelas beliau.

    Yang Berhormat menekankan projek itu turut menyediakan platform pembelajaran dan penyelidikan berterusan melalui pemantauan prestasi berasaskan data serta teknologi AI, bagi meningkatkan hasil, mengembangkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mewujudkan model ladang yang boleh dicontohi oleh negara lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda