Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP) melancarkan perasmian Hab Perkhidmatan Pelanggan (CSH) baharu pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PBMP, Muara, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian hab berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pengerusi PBMP, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani; ahli-ahli Lembaga PBMP serta pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan.
Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary memotong reben bagi merasmikan hab itu, diikuti dengan lawatan menyaksikan kemudahan yang terdapat di CSH berkenaan.
Beliau turut menandatangani plak peringatan yang melambangkan pembukaan rasmi hab berkenaan.
Penubuhan CSH bermatlamat untuk menyediakan klien dengan pusat perkhidmatan sehenti bagi perkhidmatan atau pertanyaan yang ditawarkan oleh PBMP dan saling melengkapi pelbagai perkhidmatan dalam talian yang sedia ada menerusi platform digital Maritime Single Window (MSW).
Dengan menyatukan fungsi penting di bawah satu bumbung, CSH menawarkan pengalaman pelanggan yang lebuh lancar dan efisien sementara juga menjadi sebuah pusat sehenti bagi pertanyaan dan maklumat komprehensif.
Inisiatif berkenaan menjadi sebahagian daripada strategi perniagaan PBMP untuk meningkatkan akses, keberkesanan dam kepuasan pelanggan menerusi struktur perkhidmatan berintegrasi.
Orang ramai kini boleh mengunjungi CSH yang terletak di tingkat bawah, Ibu Pejabat PBMP, Muara.



