Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Habitat hidupan liar Dominica masih membimbangkan

    ROSEAU – Brung kakak tua kelihatan murung manakala beberapa ekor katak seakan tertekan selepas sahaja bencana alam semula jadi melanda negara itu dan berkemungkinan penyumbang utama masalah haiwan tersebut.

    Namun keadaan dua spesies haiwan tersebut yang sememangnya terkenal di Dominica dan dianggap paling berharga menyebabkan keresahan bagi pakar haiwan selepas Taufan Maria melanda negara itu yang terletak di Caribbean pada tahun lalu.

    Dominica terkenal dengan keindahan hutan mereka yang subur dan sejak kebelakangan ini semakin subur menghijau secara perlahan-lahan selepas kemusnahan yang paling teruk dalam sejarah negara itu sekali gus berusaha untuk memastikan dua spesies kebanggaan negara itu untuk kembali pulang ke habitatnya.

    Burung kakak tua, Beo Sisserou dan katak ayam gunung (The Mountain Chicken frog) merupakan haiwan kebangsaan negara itu dan kedua-duanya dalam status terancam serta semakin kurang ditemui.

    “Kesan terhadap habitatnya telah mempengaruhi segala-galanya, dari tabiat pemakanannya ke tahap tekanannya dan ia saling berkaitan,” kata pegawai perhutanan Dominica, Bradley Guye kepada AFP.

    Dominica terkenal dengan keindahan hutannya yang menempatkan dua spesies haiwan yang jadi kebanggaan negara itu. – AFP
    Pada satu ketika dahulu, katak ayam gunung ini terancam disebabkan ia merupakan hidangan kebangsaan penduduk Dominica dan mendapat nama disebabkan rasa dagingnya seperti ayam. – AFP

    Lakaran burung kakak tua tersebut turut diletakkan di bendera negara tersebut menjadikannya sebagai satu spesies yang penting di Dominica. Pulau kecil itu sangat teruk dilanda angin taufan di mana kekuatan angin mencecah sehingga kelajuan 160 batu sejam. Kejadian itu menyebabkan sekitar 400 ekor burung tersebut yang tinggal di habitat liar telah hilang, menurut Guye.

    Namun bilangan yang tepat masih sukar untuk ditemui kerana kebanyakan hutan di pulau ini masih belum dapat diakses. Burung kakak tua ini hidup berpasangan malah dikatakan sangat setia antara satu dengan yang lain bahkan ia akan bersedih jika pasangannya hilang ataupun mati.

    Satu tamparan

    Kebanyakan burung kakak tua yang selamat masih mengalami kecederaan walaupun sudah setahun bencana itu berlaku.

    “Sama seperti manusia, sesetengah haiwan ingin merasa dikasihi dan dihiburkan tatkala ia mengalami kesan trauma malah haiwan ini boleh melakukan tindakan yang agresif dan kelakuan yang pelik,” kata Guye.

    “Ada kalanya, orang mahu menyembunyikan diri dan tidak mahu melihat sesiapa pun, begitu juga burung ini,” tambah Guye.

    Kehidupan burung kakak tua semakin tertekan disebabkan kehilangan pokok buah-buahan yang segar di mana sebelum ini memang banyak tumbuh di negara kecil ini, menjadi sumber makanan yang penting buat burung ini.

    Buah epal, pir dan anggur telah diterbangkan ke negara itu untuk makanan burung ini. Buah-buahan ditinggalkan di beberapa lokasi strategik di hutan liar dan lebihan buah-buahan itu kemudian dibawa ke pusat pembiakan di ibu negara, Roseau bersama dengan burung-burung kakak tua yang cedera.

    Pusat pembiakan ini berusaha untuk meningkatkan bilangan burung kakak tua dan katak itu.

    Pada satu ketika dahulu, katak ayam gunung ini terancam disebabkan ia merupakan hidangan kebangsaan penduduk Dominica dan mendapat nama disebabkan rasa dagingnya seperti ayam. Namun disebabkan oleh penyakit kulat, katak ini berada di ambang kepupusan sejak kebelakangan ini.

    Lakaran burung kakak tua tersebut turut diletakkan dalam bendera negara tersebut menjadikannya sebagai satu spesies yang penting di Dominica. – AFP

    Katak ini turut digelar sebagai ‘crapaud’ iaitu dalam Bahasa Perancis merujuk kepada katak. Katak ini lazimnya sangat besar dan membiak dengan menggali lubang di bawah tanah dan bukannya di air malah katak ini mempunyai cara yang tersendiri untuk melakukan proses pembiakan.

    “Kami telah mengunjungi kawasan habitat katak ini dan masih terdengar suara katak ini namun habitatnya telah banyak rosak dengan teruk malah beberapa ekor katak terpaksa dipindahkan ke habitat yang lain,” kata Guye.

    “Penyakit kulit itu menambah lagi kesakitan yang ada pada katak-katak ini dan ini bermakna status katak ini mungkin sahaja berada di tahap yang goyah,” tambahnya.

    Kehebatan sebuah pulau

    “Negara ini sangat bertuah disebabkan oleh keadaan hutannya yang mempunyai segala-galanya dari semak belukar kepada sektor ekopelancongan,” tambah Guye. Ketua-ketua alam sekitar berkata dengan penemuan agouti, possums, burung Beo merah dan beruang merah di hutan Dominica menggambarkan satu yang positif dan mereka berharap untuk melakukan inventori hidupan liar yang menyeluruh di pulau itu pada bulan Januari tahun depan.

    Taufan Maria yang melanda pulau itu pada 18 September 2017 telah membunuh berpuluh-puluh penduduk dan merosakkan sekitar 90 peratus keadaan bangunan di bandar raya negara itu serta mengakibatkan kerosakan melebihi AS$1.3 bilion.

    Tarikh itu akan tetap tersirat dalam ingatan negara itu dan keadaan hutan di pulau itu mengambil masa yang lama untuk disembuhkan dan kembali seperti biasa namun semenjak kebelakangan ini, hidupan liar hutan di pulau itu beransur-ansur pulih dan memaparkan satu perkembangan yang positif.

    “Hidupan liar kita adalah sumber yang penting dalam budaya dan tradisi kita dan kita berusaha keras untuk melindungi hutan kita,” kata Guye.

    “Tanpa semua itu, kanak-kanak pada hari ini tidak akan tahu apa itu katak ayam gunung atau agouti, saya mahu anak-anak dan cucu-cucu saya tahu spesies kebanggaan Dominica ini,” tambah Guye. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda