Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Pusingan kedua Hackathon Kebangsaan Startup673, didedikasikan kepada inovasi dan kerjasama yang berlangsung selama 15 hari melabuh tirainya dengan majlis penutup yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, ibu negara, hari ini.
Pusingan kedua itu menyaksikan 57 peserta berbakat membentuk 11 pasukan dinamik, semuanya bersatu dengan misi untuk menangani cabaran industri yang pesat melalui penyelesaian inovatif.
Majlis dihadiri Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir. Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, kepimpinan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Shell LiveWIRE Brunei, Makmal Inovasi Brunei (BIL) dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi dan InfoKomunikasi (AITI).
Hackathon Kebangsaan terus memupuk persekitaran yang meriah di mana kreativiti dan kerjasama berkembang. Ini terbukti apabila para peserta terlibat dalam sesi brainstorming yang intensif, penyelesaian masalah dan pembangunan produk.
Penyelaras utama hackathon, Dayangku Nur Aziemah memuji para peserta atas dedikasi dan kecekapan mereka. “Tahun ini, kami mempunyai minda-minda cemerlang yang berkumpul, masing-masing dengan visi unik dan matlamat bersama, iaitu menyelesaikan cabaran dunia nyata melalui kreativiti dan kerjasama,” katanya.
“Tenaga, semangat dan ketekunan semua peserta adalah sangat berinspirasi. Mereka bukan sahaja menerima cabaran yang diberikan, tetapi juga telah melangkaui batasan apa yang mungkin, mengubah idea menjadi penyelesaian yang nyata.”
Majlis berkenaan juga menyaksikan pemberian Seed Fund kepada pasukan-pasukan teratas. Seed Fund diberikan kepada ‘Seri Hub,’ sebuah pasaran dalam talian yang memastikan harga yang adil dan mempromosikan kelestarian makanan, manakala tawaran Seed Fund bersyarat juga diberikan kepada ‘Good Vibes,’ sebuah aplikasi berasaskan komuniti yang direka untuk meningkatkan kesedaran tentang penipuan semasa menggunakan unsur AI dan elemen gamifikasi.
Dayang Izazi Balqis binti Yusof dari Seri Hub berkata, “Projek kami adalah berkenaan membuat platform untuk menyatukan retailer, kedai runcit, restoran dan hotel-hotel yang memerlukan barang-barangan seperti sayur-sayuran dan sebagainya dengan menghubungkan mereka dengan petani di Negara Brunei Darussalam.
Beliau berkata idea untuk projek itu adalah hasil daripada brainstorming bersama pasukan, yang bermula sebagai platform dan dicipta untuk penjualan secara terus di mana semua orang boleh mengaksesnya.
Setakat ini, platform berkenaan sedang giat membangunkan aplikasi web agar ia dapat beroperasi sepenuhnya.
Manakala Anugerah ‘MVP’ diberikan kepada Qoyyum dari ‘Q. Branch,’ sebagai pengiktirafan atas usahanya dalam menyiapkan prototaip yang berfungsi, sebuah aplikasi padanan perniagaan yang memfokuskan kepada perjanjian.
Kejayaan pusingan kedua ini menandakan satu lagi pencapaian dalam misi Startup673 untuk memupuk pemimpin dan inovator masa depan dalam ekosistem startup tempatan.
Dengan selesainya Fasa 1, peserta akan memfokuskan perhatian mereka kepada Fasa 2, di mana mereka akan memperhalusi penyelesaian mereka dan bersedia untuk menembusi pasaran.
Startup673 adalah kerjasama antara LKEB, Shell LiveWire Brunei, BIL dan AITI yang bekerjasama untuk membina dan mengukuhkan Ekosistem Startup Brunei.