Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hadap dokumen palsu, wanita ketahui nasib 29 Nov

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seorang wanita tempatan yang disabit bersalah di Mahkamah Majistret, di sini kelmarin, atas kesalahan menghadapkan dokumen palsu kepada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), akan mengetahui nasibnya pada 29 November depan.

    Masjistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan tarikh tersebut untuk menjatuhkan hukuman terhadap Alina binti Mohd Ariffin, 48.

    Menurut siasatan Biro Mencegah Rasuah (BMR), tertuduh yang merupakan ejen bebas dengan tiada pekerjaan tetap, telah menghadapkan enam borang permohonan kepada kerani pendaftaran di Bahagian Kad Pengenalan, JIPK untuk memohon kad pengenalan hijau bagi pihak warga Indonesia dan Filipina yang mengandungi maklumat palsu.

    Mahkamah juga mendapati bahawa maklumat sebenar, yang diketahui tertuduh, adalah warga-warga asing berkenaan tidak pernah diambil bekerja sebagai pemandu atau pembantu rumah dengan niat untuk memperdaya penguasa imigresen dan pendaftaran kebangsaan.

    Kesalahan-kesalahan dilakukan antara Januari 2008 hingga Jun 2009. Tertuduh pertama kali dibawa ke mahkamah pada 4 Mei 2018 dan mengaku tidak bersalah terhadap enam kesalahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin Kamaluddin di bawah Seksyen 6c Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131.

    Perbicaraan disambung pada 10 Oktober 2019 di mana sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan kes.

    Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap empat kes dan membebaskannya daripada dua dakwaan.

    Pihak pendakwaan tidak dapat memanggil saksi-saksi untuk membuat keterangan bagi dua dakwaan tersebut kerana mereka telah meninggalkan Brunei. Sementara itu, mahkamah melanjutkan ikat jamin tertuduh sementara menanti hukuman dijatuhkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda