SIRI permainan video yang menampilkan aksi serangan dan mempertahankan diri, Dynasty Warriors mula menjadi satu hiburan pilihan kepada para penggemar permainan video bermula pada tahun 1987.
Kini francais permainan video yang telah memiliki lapan siri dibina oleh Omega Force dan diterbitkan oleh Tecmo Koei itu kembali dengan siri terbaru berjudul Dynasty Warriors: Godseekers.
Perbezaan ketara yang ditampilkan dalam siri terbaru ini adalah apabila ia lebih mementingkan unsur strategi berbanding aksi sebagaimana yang pernah ditonjolkan dalam siri terdahulu.
Pemburuan bola ajaib bermula
Siri Dynasty Warriors: Godseekers ini mengambil tempat pada era Tiga Kerajaan China yang turut menampilkan banyak karakter-karakter popular dari siri Dynasty Warriors yang terdahulu.
Watak protagonis utama yang ditampilkan adalah Zhao Yun yang turut mengembara bersama sahabat karibnya, Lei Bin yang merupakan seorang pemanah terkemuka.
Kisah bermula selepas Pemberontakan Serba Kuning berakhir di mana Zhao Yun dan Lei Bin telah menemui satu figura misteri berada dalam keadaan beku di dalam sebuah kuil.
Tiba-tiba, figura tersebut mula mencair dan membentuk menjadi fizikal seorang wanita yang terbang dan sangat berkuasa sehingga berjaya menumpaskan raksasa bernama Chiyou yang masih mengganas pada ketika itu.
Ternyata kuasa wanita bernama Lixia itu datang daripada lima biji bola ajaib yang memiliki elemen yang berbeza iaitu api, tanah, air, kayu dan logam.
Bagaimanapun lima biji bola ajaib yang telah memberikan kuasa kepada wanita itu hilang serta-merta selepas digunakan untuk menumpaskan raksasa tersebut.
Kini, Lixia telah kehilangan semua kuasanya dan mengharapkan bantuan daripada Zhao Yun dan Lei Bin untuk mendapatkan semula kelima-lima bola ajaib yang mengandungi elemen berbeza dan menjadi sumber kepada kuasanya.
Justeru, ramai pihak mula berusaha untuk mencari lima bola ajaib yang mengandungi lima elemen kuasa ajaib yang berbeza setelah mengetahui mengenai perkhabaran yang sangat menarik itu.
Bijak atur strategi
Tidak seperti dalam siri DynastY Warriors terdahulu yang mana sistem corak permainan utama yang diketengahkan adalah aksi pertempuran dan pertahanan.
Siri terbaru ini lebih mengutamakan unsur kebijaksanaan daripada para pemain untuk mengatur langkah strategi terbaik dalam setiap misi yang dilaksanakan.
Pemain boleh mengawal sehingga lima karakter dalam satu masa dan giliran serangan yang boleh dilakukan oleh setiap karakter adalah mengikut posisi grid yang menempatkan diri mereka.
Peta juga disediakan di sepanjang kembara para pemain dalam permainan video ini bagi mengelakkan pemain daripada tersesat.
Setiap karakter memiliki kemahiran yang berbeza dalam pertempuran iaitu serangan, pertahanan, ketangkasan, pergerakan dan juga kuasa istimewa yang tersendiri.
Seperkara yang para pemain harus sedar adalah setiap kuasa yang digunakan memerlukan tenaga dan perbezaan kuasa serangan yang dilancarkan juga menentukan tahap tenaga yang digunakan.
Di awal permainan, para karakter akan memiliki lapan mata tenaga untuk melancarkan kuasa serangan dan tiga mata tambahan tenaga diberikan pada permulaan setiap giliran serangan dimulakan.
Karakter yang dimainkan akan menerima lebih banyak mata pengalaman tatkala berjaya menumpaskan pihak musuh yang memiliki level yang tinggi.
Di samping itu, pemain juga bakal menerima emas pada setiap kali berjaya melaksanakan misi atau boleh menjumpainya tersimpan di dalam peti di sepanjang sesi pengembaraan ini.
Emas yang diperolehi itu boleh digunakan oleh para pemain untuk menaik taraf perisai atau membeli senjata baru yang cukup berguna dalam menghadapi pelbagai cabaran pertempuran yang berbeza
Justeru, sekiranya anda teruja untuk mengembara sambil mengalami sendiri aksi pertempuran dengan strategi yang sangat hebat jangan terlepas untuk mencubanya sendiri dalam Dynasty Warriors: Godseekers yang dikeluarkan untuk pelantar Playstation 4 dan Playstation Vita.