Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, mengadakan acara ‘The FinTech Sandbox’ yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Anggerek Desa, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman. Dalam ucapannya, tetamu kehormat berkata bahawa industri kewangan global pada masa ini berdepan dengan perkembangan inovatif yang berterusan termasuk perkembangan FinTech.
Beliau turut berkongsi mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh AMBD dalam menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat FinTech di negara ini sambil memastikan kestabilan industri kewangan negara ini sentiasa terpelihara.
Majlis kemudian diteruskan dengan pelancaran ‘FinTech Office AMBD’ iaitu pejabat dalam yang bertujuan untuk memudah cara perkara dan isu-isu termasuk pertanyaan yang berkaitan dengan FinTech di negara ini.
Ia juga akan berfungsi sebagai tempat penyimpanan maklumat yang mengandungi maklumat am mengenai pejabat FinTech dan sebagai pintu masuk untuk mengemukakan maklum balas dan pertanyaan daripada pihak yang berminat.
Garis panduan FinTech Regulatory Sandbox Guidelines yang turut dilancarkan akan membolehkan syarikat FinTech untuk menguji produk atau penyelesaian kewangan mereka dengan cara yang selamat dan cekap sambil menerima sokongan daripada segi pengawalseliaan AMBD.
Menghadiri acara petang tadi itu ialah pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dan pengawal selia yang berkenaan, syarikat teknologi, wakil dari industri kewangan, usahawan serta para penuntut dari institusi pendidikan di negara ini.