Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Sebagai mengiktiraf kecemerlangan akademik, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB), telah meraikan kejayaan pelajar dengan mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Akademik 2024 di
Dewan Serbaguna sekolah tersebut pada hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pelajar yang diraikan ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Hajah Suciyati binti Haji Sulaiman.
Antara tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk memberikan tumpuan kepada pengiktirafan pencapaian pelajar, memotivasikan kecemerlangan berterusan dan memupuk persekitaran pembelajaran yang positif.
Terdahulu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengetua SM YSHHB, Chong Li Chen, dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa untuk pelajar Tahun 7 hingga 10 mencapai kecemerlangan akademik, memerlukan kerja keras dan ketabahan.
Beliau turut menegaskan kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi. Adalah penting bagi pelajar untuk aktif dalam aktiviti kokurikulum, di mana penyertaan dalam CCA adalah sebahagian daripada perjalanan pembelajaran pelajar.
Di samping memberi tumpuan kepada akademik, menyemai kemahiran kepimpinan dan pembangunan sahsiah pelajar turut ditekankan, di mana pihak sekolah akan terus menganjurkan Kem Motivasi yang dikenali dengan Kem Kitani, yang telah ditubuhkan pada tahun 2016.
Beliau turut menggesa pelajar untuk terus bekerja keras dan bersedia menghadapi cabaran, kekal fokus dan aktif dalam program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
“Ini adalah sangat penting untuk perkembangan secara holistik selain menikmati perjalanan pembelajaran,” jelasnya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian dan sesi bergambar ramai bersama pelajar yang diraikan.