ALOR SETAR, 30 JUN – Lembaga Muzium Negeri Kedah menawarkan hadiah istimewa kepada pengunjung pertama di lima muzium kelolaannya yang akan beroperasi semula esok.
Pengarah Muzium Kedah Suhaidi Shukri berkata Muzium Negeri Kedah, Muzium Diraja Kedah, Muzium Padi, Balai Seni Negeri dan Rumah Warisan (Rumah Tok Su dan Rumah Sri Banai) akan mula dibuka pada 9 pagi hingga 5 petang.
“Pemberian hadiah ini sebagai menghargai pengunjung yang datang menyokong kembali pembukaan muzium kita sekali gus dapat menyemarakkan minat mereka untuk melawat muzium dan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri Kedah,” katanya pada sidang media di Muzium Padi di sini, hari ini.
Selain itu, Suhaidi berkata pihaknya akan memberikan hadiah secara rawak kepada pengunjung bertuah selepas 1 Julai. – Bernama