Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Pesta Pelancongan Brunei 2019 anjuran Sabre Travel yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan salah satu petak yang turut dikerumuni pelanggan ialah petak Pan Bright Travel Service.
Barisan pelanggan yang ramai ke petak syarikat itu bukan sahaja bagi memburu tiket penerbangan dan pakej pelancongan menarik yang ditawarkannya, malah hadiah lumayan yang bakal dimenangi turut menjadi faktor sambutan menggalakkan.
Pengurus Pembangunan Jualan dan Perniagaan Pan Bright, Dayang Nur Khadijah binti Abdullah semasa temu bual Media Permata menjelaskan, “Kami sekali lagi menjayakan kempen edisi ke-6 Travel & Win a Hyundai or Birkin yang dilancarkan Khamis lalu untuk memberi penghargaan meluas kepada sokongan padu dan kesetiaan pelanggan sepanjang tahun lalu dan sebelumnya.
“Pada tahun ini, kami kembali dengan hadiah lebih besar, kerana kami bukan sahaja memberikan sebuah, tetapi dua buah kereta baharu Hyundai sebagai hadiah utama untuk kempen bersama tawaran menarik yang ditampilkan pada pesta ini dan pada promosi akan datang,” katanya.
Menurutnya lagi, selain dua hadiah utama tersebut, mereka juga menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa tiket penerbangan ke destinasi-destinasi seperti Dubai, Tokyo, Taipei, Kuching, Istanbul, Maldives, Osaka dan Singapura melalui tajaan Syarikat Pener-bangan Diraja Brunei (RB) dan Singapore Airlines.
Selain itu, pelanggan juga berpeluang menerima Royal Skies Miles bernilai 100,000 tajaan Bank Baiduri dan Pan Bright sehingga awal Ogos ini bagi dua kali ganda peluang kemenangan dengan pembelian tiket dan pakej menggunakan kad Bank Baiduri.
Manakala pakej penerbangan dan penginapan turut ditawarkan dengan sokongan Tourism Malaysia Brunei, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur dan Ming Garden Hotel Kinabalu.
Dayang Nur Khadijah turut menekankan kempen yang akan berakhir pada hujung Mac 2020 itu disertai dengan tawaran tambang udara, hotel dan perjalanan hujung minggu.
