Hadiah lumayan untuk pemegang Mastercard Baiduri

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Bank Baiduri dengan kerjasama Mastercard telah melancarkan satu promosi bagi para pemegang Mastercard Baiduri yang telah bermula awal bulan ini hingga penghujung Oktober.

Sepanjang tempoh promosi berkenaan, para pemegang kad berpeluang memenangi ganjaran-ganjaran lumayan termasuk tiga pakej percutian untuk dua orang bernilai sehingga $5,000 ke destinasi-destinasi kejutan yang dikendalikan oleh Anywhr.co serta dua hadiah sehingga 50,000 Royal Skies miles.

Menurut kenyataan yang diberikan Bank Baiduri, untuk menyertai promosi berkenaan, para pemegang kad hanya perlu menggunakan kad kredit atau debit Mastercard Baiduri untuk membuat pembelian semasa tempoh promosi. Dengan setiap perbelanjaan sebanyak $100 akan mendapat satu peluang cabutan bertuah.

Selain itu, sepanjang tempoh itu juga, pemohon-pemohon baharu Kad Kredit Mastercard Baiduri akan mendapat dua tahun pengecualian bayaran tahunan dan berpeluang memenangi kereta mewah BMW 520i bersempena dengan ulang tahun ke-25 Bank Baiduri.