SINGAPURA, 27 Dis – Merry Crashmas daripada ‘Bandicoots’!! Itu adalah ucapan Krismas daripada ‘Crash Bandicoot’, sebuah francais platform permainan video, kepada lebih 600,000 pengikut di laman Facebooknya.
Difahamkan, ‘Crashmas’ digunakan sebagai merujuk kepada protagonis atau watak utama dalam permainan video itu yang bernama ‘Crash’.
Ucapan unik itu bersama-sama gambar Crash yang duduk di hadapan pendiangan, disambut baik oleh para pengikutnya, dengan lebih daripada 650 perkongsian setakat ini.
Tetapi, itu tidak berlaku apabila ucapan yang disampaikan oleh Malaysia Airports Berhad dan operator kereta api Singapura SBS Transit, masing-masing disalah eja sebagai ‘Mary’ dan ‘Marry’. Kedua-dua organisasi itu telah memohon maaf atas kesilapan mereka.
Gegantung Malaysia Airports di Lapangan Terbang Kota Bharu tertulis ‘Mary Christmas’ dan ‘Happy New Years’ manakala ucapan elektronik SBS Transit di stesen MRT menyatakan ‘Marry Christmas’.
Mungkin, Santa Claus perlu mula mengedar kamus poket sebagai hadiah.
“…ia berlaku di mana-mana. Ini mungkin hasil dari bahasa generasi sekarang,” kata pengguna Facebook dengan nama ShantyNur MamaIsyqi. Kebanyakan rakannya yang terdiri daripada kalangan media, bersetuju dengan beliau.
Katanya ketua kepada mereka yang melakukan kesalahan ejaan itu seolah-olah mengandaikan tiada sesiapa yang boleh membuat kesilapan sedemikian dengan ucapan seringkas ‘Merry Christmas’. – Bernama