Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Detik penuh gemilang dan bersejarah tercatat sempena Majlis Istiadat Perbarisan Kehormatan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 pagi tadi, menyaksikan kehadiran rakyat dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang yang membanjiri Padang Sir Muda Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, sejak awal pagi.
Antara yang mencuri perhatian ialah Haji Tuah bin Matussin, 84 tahun, dari Kampung Sungai Bunga yang hadir seawal jam 6.30 pagi, menjadikan kehadiran ke majlis sambutan tahun ini sebagai satu tradisi tahunan yang tidak pernah dilepaskan sejak sekian lama.
Begitu juga dengan Pg Hassan bin Abdul Razak, 63 tahun, dari Kampung Tanjung Nangka yang menaiki bas awam seawal jam 6 pagi demi memastikan beliau tidak terlepas menyaksikan acara kebesaran negara.

Turut berkongsi keterujaan ialah seorang pelawat dari Scotland, Steve Carrick, 60 tahun bersama isteri, hadir buat kali keempat ke Brunei dan menyaksikan majlis sambutan berprestij ini buat pertama kalinya.

“Saya fikir ini adalah satu penghargaan besar rakyat kepada Raja mereka. Ia sungguh luar biasa dan menyentuh hati. Di Scotland atau United Kingdom, saya tidak pernah menyaksikan acara sambutan seumpama ini. Sangat hebat melihat rakyat di sini begitu kasih dan hormat kepada Raja mereka,” ujar Steve, yang turut merakam detik-detik istimewa dengan kameranya.
Sementara itu, Pemangku Penghulu Mukim Mentiri yang juga Ketua Kampung Kawasan RPN Kampung Panchor, Mukim Mentiri, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad ketika ditemui menyatakan, “Daulat Kebawah Duli Tuan Patik. Allah lanjutkan usia Baginda Sultan dan semoga Baginda terus memerintah dengan petunjuk dan limpahan rahmat daripada Allah SWT.”

Sementara itu, Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang ketika dihubungi berkata sempena sambutan berkenaan, melahirkan rasa syukur dan junjung kasih tidak terhingga ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kepimpinan bijaksana dan penuh berkat Baginda Sultan dalam memacu kemakmuran Negara Brunei Darussalam.
“Saya dan seluruh penduduk di Kampung Jerudong B menjunjung kasih di atas segala perhatian dan kepedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap rakyat jelata. Hari Keputeraan Baginda ini adalah detik yang amat bermakna untuk kami rakyat yang bernaung di bawah kepimpinan raja yang adil, penyayang dan berwawasan,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap dasar dan inisiatif kerajaan yang terus memperkasa rakyat dari peringkat akar umbi, khususnya dalam aspek kebajikan, kesejahteraan, dan pembangunan kampung.
“Sebagai pemimpin akar umbi, saya amat terhutang budi kerana diberi amanah untuk menyampaikan hasrat dan keperluan rakyat terus ke pihak atasan. Segala bentuk kemudahan dan kemajuan yang dinikmati hari ini adalah hasil pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sentiasa berpandangan jauh dan prihatin terhadap semua lapisan masyarakat,” tambahnya.
Beliau juga memanjatkan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang sempurna serta terus memerintah negara dengan taufik dan hidayah daripada Allah SWT.
Majlis istiadat yang penuh berwarna-warni dan meriah itu sekali lagi membuktikan semangat cintakan Raja dan Negara yang tidak pernah luntur dalam jiwa rakyat Brunei, malah semakin kukuh dan kuat mengakar dalam kehidupan seharian rakyat dari generasi ke generasi.
