Tidak menyangka karyanya menjadi salah satu pilihan Raja Britian, penyanyi Hael Husaini lebih terkejut apabila Raja Charles III dapat memahami lirik Anta Permana dengan baik walaupun dalam bahasa Melayu.
Hael atau Hal Husaini Razmi, 37, bagaimanapun percaya Raja Charles III mula jatuh cinta dengan karyanya selepas ia diterjemahkan ke bahasa Inggeris.
“Saya terkejut tetapi saya sendiri kadang-kadang banyak dengar lagu-lagu pelbagai bahasa. Konsepnya sama sahaja.
“Bila orang luar dengar dan berminat dengan sesuatu karya pasti mereka juga akan mencari maksud di sebalik lirik.
“Mungkin Raja Charles III minat dengan lirik lagu itu yang membawa maksud cinta tiada penghujungnya,” katanya kepada mStar.
Mengimbau kembali momen dirinya menerima khabar gembira itu, Hael berkata dia seakan tidak percaya apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza menandai dirinya di Instagram.
Malah dia juga percaya ini adalah salah satu peluang karya Malaysia mencipta kejayaan di luar negara.
“Ini boleh jadi titik permulaan di mana lagu Malaysia jangan dipandang enteng. Sebenarnya kita ada peluang memperbesarkan karya kita di persada dunia.
“Alhamdulillah, Siti kongsi rezeki dengan saya dan Ezra Kong selaku penggubah bersama lagu ini. Terima kasih,” ujarnya.
Pun begitu, Hael yakin aura dibawa Biduanita Negara selaku penyanyi Anta Pernama menjadi penyebab karya itu berjaya menambat hati Raja Britian berkenaan.
“Saya percaya tetapi nak kesahihan terpaksa buka Apple Music sebab nak rasa penangan. Bila dia sebut nama Siti, Ya Allah bangganya sebagai rakyat Malaysia.
“Sebenarnya yang sebaris penyanyi antarabangsa ialah Siti. Kami di belakang hanya sebagai pendukung.
“Lagu itu sendiri rasa hasil kerjasama kami. Tanpa Siti kami tidak sampai situ,” jelasnya.
Pada 11 Mac lalu, Siti memuat naik hantaran di laman Instagram mengucapkan penghargaan atas pemilihan lagu Anta Permana dalam senarai lagu pilihan Raja Charles III. Luah Siti, dia bersyukur dan tidak menyangka karya tersebut mendapat perhatian golongan Diraja negara berkenaan. – Agensi
