KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun berhasrat menerbitkan filem berkonsepkan Islamik, pada masa depan.
Hafiz mengaku sedia berjinak-jinak dengan dunia filem, namun bukanlah pada masa terdekat ini.
“Sesekali terlintas juga mahu menerbitkan filem Islamik.
“Biarpun tidak pernah bergiat secara langsung dalam filem, saya sering menimba pengalaman menerbitkan skor muzik di layar perak,” katanya.
Hafiz berkata, pada 2009, dia pernah menyediakan skor muzik untuk filem Nur Kasih The Movie.

“Saya juga memperoleh pengalaman sama dalam beberapa filem lain seperti Juvana dan KL Gangster,” katanya.
Hafiz memberi contoh, penyanyi dan komposer Indonesia, Melly Goeslow sudah mula menerbitkan filem.
“Saya lihat penggiat seni di Indonesia juga aktif menerbitkan filem Islamik. Saya rasa kalau ada minat, semua ini tidak mustahil,” katanya.
Penyanyi lagu Zikir Terapi itu cukup optimis dengan keinginannya itu.
“Kalau di Indonesia, dengan gabungan penulis skrip dan novel, penerbit dan komposer yang baik, terhasillah filem yang ‘meletup’. Jadi saya rasa tak salah jika formula sama digunakan di Malaysia.
“Ini umpama angan-angan saya. Tak salah berangan pun. Siapa tahu pada masa mendatang ini, ia bakal menjadi kenyataan,” katanya.