Sejak bangkit daripada ‘fasa gelap’ dalam kehidupan yang hampir menggelamkan kilauan bintangnya di puncak karier, Hafiz Suip tampaknya enggan lagi menoleh ke belakang apabila kini tampil dengan aura dan semangat baharu menyengat dunia seni tanah air.
Segalanya terbukti pada Sabtu lepas, apabila Hafiz yang terkenal dengan vokal balada emasnya ini menggegarkan pentas konsert sulungnya, ‘Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Live in Concert’, sebagai hadiah istimewa buat peminatnya yang sekian lama menantikan detik itu sepanjang 15 tahun perjalanan seninya.
Bukan sekadar comeback atau persembahan biasa, sebaliknya konsert solo jejaka berusia 35 tahun ini di Megastar Arena, menjadi ruang introspeksi buat hampir 4,000 peminatnya untuk menyelami kisah seni yang sarat emosi dan perjuangannya menempuh pelbagai cabaran sepanjang bergelar anak seni.
Dengan membuka tirai persembahannya tepat pada 8:30 malam dengan lagu ikonik Awan Nano, yang mengangkat namanya ke puncak populariti, Hafiz sepanjang konsert dilihat tidak henti-henti meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada peminatnya atas sokongan yang terus menghidupkan langkah seninya.
Bagaikan mengubati kerinduan peminat terhadap pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) tiga kali berturut-turut itu, kehangatan malam itu kian membara apabila peminat bagaikan tidak mahu melepaskan momen berharga selama dua jam menyanyi bersama-sama idola mereka.
Bahkan suasana bertambah gamat apabila anak kelahiran Kuching, Sarawak itu turun dari pentas menyapa peminatnya sambil mendendangkan lagu Watak, detik yang mencetuskan sorakan ‘histeria’ dan jeritan penuh gemuruh, seolah-olah seluruh sudut Megastar Arena tenggelam dalam alunan merdu Hafiz.
Mengakui dirinya sedikit gementar pada awal persembahan, bapa kepada dua cahaya mata itu bagaimanapun berkata rasa gugup itu akhirnya lenyap sebaik melihat wajah-wajah peminatnya yang setia menanti dengan penuh sokongan dan kasih yang tidak pernah pudar.
Biarpun begitu, suasana penuh membara itu bertukar hening dan diselubungi penuh emosi tatkala kedua-dua ibu bapanya membuat kemunculan istimewa di atas pentas ketika penyanyi ini sedang mengalunkan lagu Pelangi Petang, nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
I want you to know, even if you don’t have a leg, I will be your leg, katanya dalam nada sebak kepada bonda tercinta yang kehilangan sebelah kaki akibat komplikasi diabetes. – Bernama


