Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hafiz Suip imamkan solat jenazah ibu,

    Jenazah ibu kepada penyanyi, Hafiz Suip iaitu Allahyarham Halizawati  Salleh, 60, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya, Sarawak pada pagi kelmarin.

    Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.25 baru-baru ini di Hospital Umum Kuching, akibat komplikasi penyakit kencing manis.

    Namun apa yang mencuri perhatian ramai adalah tindakan Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, yang mengimamkan sendiri solat jenazah ibunya di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, sebelum dikebumikan.

    Menerusi hantaran video dikongsi stesen radio Cats FM di TikTok, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan menganggap Hafiz sebagai anak yang soleh.

    “Hafiz anak yang soleh. Solatkan sendiri jenazah ibunda tercinta. Salam takziah dan Al-Fatihah. Beruntung arwah ibunya, kerana anak sendiri menjadi imam solat jenazah.

    “Allahu Akbar. Hafiz mengimamkan solat jenazah arwah bondanya. Sabar Hafiz. Semoga arwah bonda ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” tulis warganet.

    Tidak hanya itu, kehadiran komposer Ajai di majlis pengebumian turut menjadi bualan warganet apabila dia sanggup terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching semata-mata untuk memberikan penghormatan terakhir.

    “Salute kepada Ajai yang sanggup terbang ke Sarawak demi memberi penghormatan terakhir kepada ibunda Hafiz. Memang terasa semangat persahabatan sejati.

    “Semangat setia kawan! Ajai hadir ke majlis pengebumian ibu Hafiz. Al-Fatihah buat arwah ibunya.

    “Betapa sayangnya Ajai kepada Hafiz. Dia sanggup terbang ke Kuching untuk memberikan sokongan kepada sahabatnya,” kata beberapa pengguna media sosial.

    Untuk rekod, Allahyarham Halizawati Salleh sebelum ini menghidap penyakit diabetes kronik hingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga paras lutut. – Agensi

    Warganet puji Hafiz sebagai anak soleh yang imamkan solat jenazah ibunya. Ajai (kanan) turut hadir. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda