Sedar penceraian bakal memberi kesan besar, penyanyi, Hafiz, berdoa agar anak-anaknya dapat menerima dan memahami situasi dialami oleh keluarga mereka apabila dia dan isteri bercerai kelak.
“Saya tidak nafikan memang anak-anak saya akan terseksa dengan penceraian ini. Saya beritahu mereka kerana lambat laun nanti mereka akan tahu juga.
“Saya doakan yang terbaik dan saya mahu anak-anak tahu saya masih lagi bapa mereka.
“Saya terlalu sayangkan mereka, sekiranya apa-apa terjadi saya sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka,” katanya kepada mStar.
Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program Mega Live AJL39 yang diadakan di Tanamekar The Hills, Petaling Jaya, Selangor pada malam kelmarin.
Dalam pada itu, Hafiz memberitahu dia masih suami kepada Nureffy Jasreel Abdullah meskipun sudah tidak lagi tinggal bersama.
Kata Hafiz, dia menerima ujian yang diberi Allah SWT dengan reda dan mengharapkan sokongan daripada keluarga dan peminat.
“Saya masih lagi suami orang cuma kami sudah tidak duduk sebumbung kerana dalam proses penceraian. Ini adalah ujian saya kena terima dengan hati terbuka. Saya tahu ia akan berat tetapi saya belajar untuk bersyukur walaupun dilanda ujian,” ujarnya.
Sebelum ini, menerusi temu bual bersama program hiburan Melodi, Hafiz mendedahkan dia dan isteri kini dalam proses penceraian. Untuk rekod, Hafiz mendirikan rumah tangga dengan Nureffy pada 14 Mei 2016.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5 tahun.