Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hafiz Suip mahu terus di Kuching jaga ibu sakit

    Penyanyi Hafiz Suip memberitahu dia kini sudah menetap di Kuching, Sarawak kerana mahu menjaga kedua ibu bapanya.

    Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 34, berkata ibunya iaitu Halizawati Salleh, 60, kini berdepan masalah kesihatan dan sedang dirawat di sebuah pusat perubatan di Kuching.

    “Kalau ikutkan sekarang ini ibu saya sedang berada di wad hospital kerana mengalami masalah paru-paru berair yang memberi kesan pada jantung.

    “Apa yang boleh saya katakan tentang kondisi ibu saya, info daripada doktor memberitahu tiga daripada empat injap jantung dia sudah kurang berfungsi… Tambah pula sekarang ini ibu pun ada kencing manis, jadi itulah yang membuatkan saya menetap di Kuching,” katanya kepada mStar.

    Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39) yang diadakan di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam pada malam kelmarin.

    Dalam pada itu, Hafiz memberitahu pada mulanya dia agak berat hati untuk berangkat ke Kuala Lumpur bagi menjayakan malam SFMM39, namun ibunya sendiri memberikan dorongan untuk dia tidak menghampakan peminat.

    Kata Hafiz, sokongan yang diterima daripada ibunya itu menjadi penguat untuk dia terus beraksi mempersembahkan nyanyian lagu Terus Bersinar.

    “Ibu saya doakan yang terbaik untuk penglibatan saya dalam SFMM39 ini. Jadi ibu saya juga yang beri dorongan untuk saya meneruskan persembahan pada malam ini,” ujarnya.

    “Saya harapkan juga doa daripada kawan-kawan agar ibu bapa saya sihat insya-Allah,” katanya. – Agensi

    Hafiz mahu menjaga ibunya yang sedang mengalami masalah kesihatan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda