Tuesday, February 25, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hafiz Suip rancang kembali aktif

    HAMPIR dua tahun menyepikan diri, penyanyi Hafiz Suip mengakui rindu untuk kembali aktif sebagai anak seni sebagaimana sebelum ini.

    Sejak lebih dua tahun lalu, Hafiz mengambil keputusan memperlahankan kerjaya seninya kerana berdepan dengan masalah kesihatan yang dialami semenjak sekian lama.

    Menurut Hafiz, dalam tempoh itu, dia menjalani rawatan sakit tulang belakang (slip disc) sehingga terpaksa menolak banyak tawaran menyanyi kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain dengan keadaan dirinya.

    “Alhamdulilah selepas hampir dua tahun menjalani rawatan secara berterusan, keadaan saya bertambah baik dan selepas ini saya akan kembali aktif dalam kerjaya seni seperti biasa.

    “Cuma  buat masa ini, saya perlu beri tumpuan kepada isteri yang kini sarat mengandung anak pertama kami dan dijangka bersalin pertengahan Januari tahun depan.

    Hafiz Suip juga mengembangkan bakatnya dengan menceburi bidang pengacaraan menerusi program Unplugged.

    “Saya harap peminat di luar sana masih tidak lupakan saya walaupun ramai bakat baru yang muncul saban hari dalam industri,” ujarnya.

    Menguatkan keazamannya itu, penyanyi yang pernah tiga kali mengungguli kategori Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) ini kini bernaung di bawah syarikat pengurusan baru, Rocketfuel yang bakal merencana kerjaya seninya dengan lebih lancar selepas ini.

    “Tawaran untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan baru ini datang pada waktu yang tepat di saat saya mahu kembali memberi tumpuan kepada kerjaya seni.

    “Mereka sangat efisen, lebih teratur dan telah merangka perancangan yang begitu menarik untuk kerjaya nyanyian saya, yang saya sendiri tidak pernah terfikirkan.

    “Jadi saya harap ia bakal jadi strategi terbaik untuk saya mula langkah baru dan seterusnya tampil dengan sesuatu yang lebih menarik untuk peminat,” kata Hafiz yang ditemui ketika majlis pelancaran Rocketfuel Entertainment, baru-baru ini.

    Kali terakhir muncul dengan single Matahari (2013), Hafiz kini sibuk mempromosikan single terbarunya, Kejar, diikuti Hari Ini Dalam Sejarah yang didedikasikan buat cahaya mata pertamanya.

    “Memang dah lama saya tidak tampil dengan single terbaru, malah ramai peminat bertanyakan tentang itu dan menyatakan kerinduan mereka untuk tengok saya tampil dengan lagu baru.

    “Apatah lagi apabila tiba musim AJL ini,  ada yang bertanya apabila kelibat saya tidak ada dalam persaingan pertandingan ini kerana sebelum ini, nama saya sentiasa ada bersama rakan-rakan lain.

    “Walaupun tidak bertanding, saya sentiasa menyokong AJL dan berharap ada rezeki untuk kembali ke AJL pada tahun depan dengan single terbaru ini nanti, Insya-ALLAH,” katanya.

    Selain memberi tumpuan kepada bidang nyanyian, Hafiz juga kini semakin aktif dalam bidang pengacaraan dan mengakui semakin selesa dengan cabang seni baru yang diceburinya menerusi program Unplugged. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda