Penyanyi Hafiz Suip mengakui perkara paling menyedihkan dalam hidupnya adalah berjauhan dengan anak tersayang.
Menurut Hafiz, situasi itu masih berlarutan hingga ke hari ini dan menjadi antara ujian paling besar yang perlu ditempuh sebagai seorang bapa.
“Saya rasa apabila berjauhan dengan anak, itulah perkara paling sedih. Sampai sekarang saya masih melaluinya,” katanya.
Hafiz meluahkan perkara itu menerusi satu hantaran video di Instagram miliknya pada petang kelmarin.
Menerusi rakaman tersebut, penyanyi lagu Terus Bersinar itu dilihat tidak mampu menahan air mata ketika berkongsi apa yang sedang dilalui dalam kehidupannya.
Dalam nada sebak, Hafiz berkata dia memilih untuk terus bersyukur atas segala ketentuan Tuhan tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya bersyukur sahaja, bersyukur dengan setiap pemberian Tuhan. Saya cuba untuk berdamai dengan kehidupan, tak mahu cari salah. Kerana cari salah itu buat saya kusut. Bila bersyukur dan reda, insya-Allah akan dapat kebahagiaan itu,” ujarnya.
Tambah Hafiz, bukan mudah berdepan pelbagai persepsi masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ada yang menilai dirinya secara negatif tanpa mengetahui situasi sebenar.
“Banyak tanggapan orang pada saya, tapi paling sedih bila orang anggap saya jahat sahaja di mata mereka.
“Mulut orang tak boleh tutup. Apa yang saya boleh buat, jalankan hidup seperti biasa. Lambat-laun orang akan faham dan tahu kebenarannya,” jelasnya.
Perkongsian penuh emosi itu nyata mengundang simpati warganet yang mendoakan agar Hafiz terus tabah, kuat dan dipermudahkan segala urusan hidupnya. – Agensi
