Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hafiz Suip selesa diurus isteri

    SEJAK bergerak sendiri dan memiliki pengurusan sendiri, penyanyi Hafiz Suip mengakui cabarannya berbeza berbanding terikat dengan sebuah syarikat sebelum ini.

    Hafiz, 28, yang kini diuruskan sepenuhnya oleh isteri tercinta, Nureffy Jesreel Abdullah atau Effy, 26, bagaimanapun perlahan-lahan menyesuaikan diri.

    Menurutnya, cabaran utama paling dirasakan sewaktu isterinya mula mengambil-alih tugas itu.

    “Saya tidak salahkan dia, maklum saja isteri pun terlalu baharu dan belum faham selok-belok industri hiburan. Jadi apabila dia kerap mendapat panggilan mengenai saya, ia perkara baru baginya.

    “Tidak dinafikan, ia memberi kesukaran buat dirinya juga. Kadang-kadang ada masa kami bercanggah pendapat apabila tersepit di antara hal peribadi dan kerjaya.

    “Bagaimanapun, dia semakin profesional menangani hal itu dan mula membiasakan diri,” katanya.

    Tambah Hafiz, keberaniannya untuk bergerak sendiri juga adalah disebabkan dia sudah memahami selok-belok dunia hiburan.

    “Saya memutuskan untuk memiliki pengurusan sendiri selepas belajar bertahun-tahun mengenai industri ini. Syukur, dalam tempoh itu banyak yang saya pelajari dan lebih berkeyakinan.

    “Kalau awal-awal dulu, saya memang tidak tahu apa-apa langsung dan sangat berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang berjasa membawa saya ke tahap ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Hafiz yang turut menjadi mentor dalam program Mentor 7 sudah bersedia sepenuhnya untuk pertandingan itu.

    Bahkan, dia sempat meminta nasihat dan petua daripada beberapa rakan artis yang pernah menggalas tanggung jawab itu sebelum ini.

    “Kalau ikutkan, pengalaman saya selama lapan tahun belum cukup untuk jadi mentor seperti penyanyi hebat lain. Bagaimanapun saya sahut cabaran ini kerana mahu melangkah lebih jauh.

    “Saya sudah tubuhkan pasukan berpengalaman bagi memantapkan protege saya kelak. Mereka temasuk Bob Yusof yang akan menjaga bahagian vokal serta beberapa individu berkaliber lain.

    “Sebelum sesi uji bakat lagi pun saya sudah minta tunjuk ajar daripada Hazama, Akim Ahmad dan Misha Omar yang pernah ambil bahagian dalam program itu. Mereka banyak membantu dan menaikkan semangat saya,” katanya.

    Berkongsi perkembangan karier muzik terkini, Hafiz terpaksa menangguhkan pelancaran single baharunya demi memberi laluan kepada Mentor 7.

    “Sebenarnya saya ada perancangan untuk tampil dengan single baharu dalam masa terdekat. Apabila tawaran Mentor 7 datang saya terpaksa menangguhkan seketika single itu.

    “Saya mahu beri fokus sepenuhnya untuk program ini terlebih dulu. Bagaimanapun, saya pasti akan memperkenalkan single itu cuma bukan dalam waktu terdekat,” katanya. – Agensi

    Hafiz Suip turut terlibat dalam rancangan Mentor 7.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda