Penampilan kurus penyanyi Hafiz Suip sering kali menjadi bualan hangat dalam kalangan warganet sehingga tergamak melemparkan pelbagai tuduhan jahat berkaitan penurunan berat badannya yang dikatakan mendadak.
Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, bagaimanapun berkata, penurunan berat badannya itu adalah disebabkan dia aktif bersenam di gim dan bukannya disebabkan perkara lain, lapor mStar.
Bagi membuktikan perkara itu, penyanyi lagu Awan Nano itu sanggup mencari gambar lama dia Facebook milik jurulatihnya yang menunjukkan dia sedang gigih bersenam di gim.
“Saja nak kongsi gambar yang aku korek dalam Facebook jurulatih aku.
“Nak kurus kita kena usaha bukan sekadar bercakap di media sosial menyebarkan fitnah secara tidak sedar,” katanya.
Hafiz berkongsi mengenai perkara itu menerusi Instagram miliknya yang turut memaparkan dia sedang bersenam di sebuah gim.
Tidak hanya itu, Hafiz memberitahu dia lebih selesa untuk tidak berkongsi semua perkara kepada orang ramai malah memilih memaparkan kebahagian di media sosial.
“Kesakitan atau pahit yang dialami usah diraih simpati bahkan berdiam diri dan bersembunyi. Biarkan kebaikan dan manis sahaja disaji,” ujarnya. – Agensi